Sidang Parlimen yang mendebarkan Ismail Sabri


Fakhrurrazi Rashid

KALAU kita lihat berita awal Julai tahun ini, rata-rata isu yang berlegar berkaitan tentang masalah tadbir urus dan demokrasi beberapa negara yang kian serius. Pertama, rakyat Sri Lanka melakukan demonstrasi besar-besaran menuntut Presiden Gotabaya Rajapaksa meletakkan jawatan selepas terpalit dengan jenayah rasuah dan ketirisan sehingga keadaan ekonomi Sri Lanka kian tenat. 

Kedua, tindakan “rebel” ahli Parlimen Konservatif, sama ada menteri Kabinet atau ahli Parlimen penyokong kerajaan, mendesak Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson berundur kerana terpalit dengan skandal dan salah laku yang tidak berkesudahan.

Desakan untuk pemimpin utama di Sri Lanka dan UK berundur nampaknya berhasil. Gotabaya melatakkan jawatan sebagai presiden pada 15 Julai dan Boris pula meletakkan jawatan pada 8 Julai yang lalu. Ia sekali gus membuktikan betapa berkesannya suara rakyat untuk menolak pemimpin rasuah dan tidak berintegriti. 

Perdebatan politik dan ekonomi

Dari sudut yang berbeza, tidak kira sama ada Sri Lanka merupakan negara dunia ketiga dan UK pula negara dunia pertama, krisis kepimpinan dan urus tadbir di dalam kerajaan tetap timbul. Dan, kebanyakan faktor berpunca daripada sikap pemimpin kerajaan yang pentingkan diri dan tidak memikirkan masalah rakyat. 

Menariknya, kedua-dua negara ini memilih Parlimen sebagai jalan penyelesaian bagi meletakkan pentadbiran negara mereka di tempat yang betul.  Ahli Parlimen Sri Lanka diberikan tempoh seminggu, bermula pada 16 Julai untuk memilih presiden baharu mereka. Di UK pula, parti Konservatif sedang membuat pemilihan ketua parti baharu bagi menggantikan Boris dan seterusnya akan menjadi perdana menteri UK yang baharu. 

Sekurang-kurangnya, Sri Lanka dan UK masih mempercayai Parlimen sebagai tempat mencari jalan penyelesaian. Tetapi, sejauh manakah pemimpin dan rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan kepada institusi Parlimen dalam mengatasi isu rakyat, ekonomi, dan politik negara?

Mesyuarat Parlimen yang bermula hari ini bakal menyaksikan perdebatan ekonomi dan politik terbesar dalam menguji ketahanan kerajaan Ismail Sabri Yaakob. Sidang kali ini boleh dikatakan pintu ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kelemahan kerajaan menguruskan kenaikan harga barang dan inflasi cukup menggusarkan kehidupan rakyat. Menteri kewangan menyatakan kerajaan memberi subsidi hampir RM80 bilion membantu rakyat.

Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam dikeluarkan Kementerian Kewangan sebagai langkah menjimatkan dana kerajaan sekurang-kurangnya 5% daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022 untuk menampung kos subsidi yang kini meningkat dua kali ganda.

Namun, kebanyakan rakyat masih melihat kerajaan Ismail Sabri lambat bertindak dalam menguruskan kenaikan inflasi. Bantuan tunai pula kecil dan pelaksanaan subsidi penuh dengan ketirisan sehingga tidak sampai kepada golongan memerlukan. Penubuhan jawatankuasa “jihad” pula hanya menambah kekecewaan rakyat. 

Pintu ke PRU15?

Kecuaian kerajaan ini memberi kelebihan kepada kem Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak mendesak agar PRU15 diadakan segera.

Lebih mendebarkan Ismail Sabri lagi apabila tarikh untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai, 2022 seperti yang dipersetujui dalam MoU kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), hampir tiba.

Mungkin, komitmen Ismail Sabri dalam melaksanakan janji MoU untuk menambah baik sistem politik dan institusi, boleh menjadi faktor kerajaan beliau boleh mentadbir negara. Pembentangan pindaan Perlembagaan dan Rang Undang-Undang (RUU) melarang ahli Dewan Rakyat melompat parti yang dijadualkan pada 27 Julai ini adalah kemuncak daripada MoU bersama PH.

Pindaan ini amat penting dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi berparlimen yang dibebani dengan isu wakil rakyat melompat parti pasca PRU14.

Tetapi, MoU ini tidak memberi sebarang jaminan kepada Ismail Sabri. Konflik dalaman kerajaan, khususnya Bersatu yang mahu Ismail Sabri memberi jawatan timbalan perdana menteri kepada mereka, hanya menunjukkan kerajaan hari ini hilang hala tuju dalam menguruskan negara.

Perkara seperti ini boleh menjejaskan kerajaan Ismail Sabri dan memberi kesan kepada ujian keabsahan kerajaan Ismail Sabri di Parlimen. Ia pernah terjadi pada mesyuarat Parlimen pada Mac yang lalu apabila kerajaan Ismail Sabri gagal mendapatkan majoriti mudah bagi meluluskan RUU pindaan Akta Sosma 2012.

Kumpulan Zahid dan Najib sudah pasti akan menguji majoriti Ismail Sabri dalam setiap usul atau RUU dibawa kerajaan. Disebabkan konflik Umno dan Bersatu kian ketara, ahli Parlimen Umno cuba memberi tekanan untuk menggagalkan usul dibawa menteri daripada Bersatu.

Apa yang pasti, Ismail Sabri perlu bijak menyelesaikan kedua-dua masalah ekonomi dan politik yang melanda negara. Tanpa menyelesaikan isu ini, boleh dikatakan Ismail Sabri dan Umno bakal memasuki PRU15 dengan rekod prestasi yang buruk.

Dinamik baru pembangkang

Soalnya sejauh manakah Ismail Sabri mampu meredakan kem Zahid-Najib agar tidak melakukan sesuatu di luar jangkaan? Adakah kerajaan akan menggunakan RoS untuk membatalkan pindaan perlembagaan Umno untuk menangguh pemilihan parti jika Kluster Mahkamah cuba membuat sesuatu yang menekan Ismail Sabri?

Blok pembangkang, khususnya PH, memasuki sesi Parlimen kali ini dengan dinamik baharu. Perubahan tampuk kepimpinan dalam PKR akan menjadi tumpuan utama pemerhati politik dan rakyat sama ada pemimpin baharu ini benar-benar memberi nilai tambah kepada blok pembangkang dalam memperjuangkan isu rakyat.

Apa yang lebih penting, pembangkang perlu menonjolkan dasar dan kepimpinan segar dalam persidangan Parlimen kali ini. Rakyat mahukan pembangkang yang efektif dalam mengemukakan kritikan dan cadangan dasar kepada kerajaan. Blok pembangkang harus menonjolkan kesediaan menerajui kerajaan untuk penggal akan datang.

Soalnya, apakah pembangkang mampu mencari titik penyatuan dalam sesi parlimen kali ini sebagai persedian melawan Umno-BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15? Atau terus berada dalam dilema?

Agak mengecewakan sekiranya pembangkang masih kaku dalam menawarkan sesuatu yang meyakinkan kepada rakyat  ketika kerajaan  Ismail Sabri dan Umno-BN berada pada tahap paling lemah dalam mentadbir negara. – 18 Julai, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen