Ekonomi Malaysia perlu tindakan radikal untuk pulih, kata MTEM


Nabihah Hamid

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu berkata kerajaan perlu ada strategi yang rapi dan bersifat jangka panjang untuk mencapai pertumbuhan permintaan dalam pasaran tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2022.

PUTRAJAYA perlu mengambil tindakan radikal untuk memulihkan ekonomi negara dengan mengimbangi antara tumpuan kepada eksport dan perbelanjaan rakyat, kata Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman.

Katanya dua perkara ini perlu seimbang kerana tumpuan yang lebih ke atas eksport menyumbang kepada gaji yang rendah dan kebergantungan yang tinggi terhadap tenaga buruh asing.

“Langkah terbaik untuk kerajaan memastikan ekonomi sentiasa berkembang dan membangun adalah dengan mengubah secara radikal pendekatan ekonomi kita daripada terlalu fokus kepada pasaran eksport kepada fokus yang sama penting terhadap pasaran tempatan (perbelanjaan rakyat),” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kedua-dua pasaran ini perlu seimbang. Terlalu fokus kepada pasaran eksport hakikatnya adalah antara faktor utama menyumbang kepada gaji rendah serta kebergantungan kepada pekerja asing.

“Cara untuk fokus kepada pasaran tempatan dan meningkatkan perbelanjaan isi rumah adalah melalui peningkatan gaji, ” tambahnya.

Yazid juga berkata masih ada banyak ruang untuk melaksanakan pendekatan perbelanjaan penggunaan kerana ekonomi Malaysia masih berada dalam keadaan ‘kurang penggunaan’.

“Sejauh mana kita boleh guna pendekatan berasaskan pengguna? Hadnya apabila atau sehingga kita mencapai gaji kehidupan wajar.

“Oleh itu dalam pengurusan ekonomi Malaysia – gaji kehidupan wajar dan perbelanjaan isi rumah – wajar menjadi antara petunjuk utama,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata perlu ada strategi yang rapi dan bersifat jangka panjang untuk mencapai pertumbuhan permintaan dalam pasaran tempatan.

“Pada masa yang sama, langkah-langkah seperti menguatkuasakan undang-undang antipencatutan, antimonopoli; dan memperkenalkan program  program penanaman jagung atau sebagainya dan semua bahan makanan, sayur-sayuran, ternakan secara besar-besaran bagi mengurangkan import makanan yang sekarang ini pada tahap RM50-60 billion setahun,” kata Yazid.

Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2022.

Bagi menangani nilai ringgit yang rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), beliau berkata kerajaan boleh menjalankan perdagangan tukar barang (barter trade) dengan negara yang mempunyai keperluan minyak sawit.

Menyentuh dasar fiskal, Yazid mencadangkan lebih banyak cara untuk kerajaan memungut cukai.

“Dari segi dasar fiskal, banyak lagi ruang-ruang untuk memungut cukai seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), cukai durian runtuh (windfall tax) dalam semua sektor, cukai pendapatan individu terkaya, cukai pendapatan korporat, cukai keuntungan modal (capital gains) dan banyak lagi yang boleh diperkenalkan,” jelasnya.

Beliau selain itu berkata sistem subsidi tidak bersasar bukan kaedah yang progresif kerana ia lebih menguntungkan golongan kaya dan industri lebih daripada membantu rakyat jelata.

“Ia juga banyak di manipulasi oleh kartel yang menyeludup dan memanipulasi sistem subsidi itu.

 “Jumlah peruntukan subsidi-subsidi  itu lebih wajar disalurkan terus kepada rakyat dalam bentuk bantuan tunai,” katanya.

Bulan lepas pakar ekonomi Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata program wakaf boleh menjadi penyelesaian jangka panjang dalam usaha menangani isu peningkatan subsisi mencecah hampir RM80 juta setahun duit pembayar cukai tahun ini.

Profesor ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak itu mencadangkan Putrajaya menuntut syarikat gergasi dan kumpulan orang terkaya Malaysia menyumbang kepada skim pembiayaan itu.

“Subsidi kita adalah yang terbesar pernah diberikan mana-mana negara, dan bantuan tunai hanyalah pelan jangka pendek.

“Perlu ada ‘pembetulan’ supaya situasi kita sekarang tidak menjadi seperti Sri Lanka, apabila subsidi diberikan tanpa kawalan dan pinjaman yang diambil akhirnya menyebabkan muflis. 

“Perlu diingat, hutang Sri Lanka juga lebih kecil berbanding kita,” kata Barjoyai kepada The Malaysian Insight.  – 18 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen