Ahli ekonomi cadang dana wakaf diwujudkan untuk tampung subsidi


Alfian Z.M. Tahir

Program subsidi Malaysia adalah antara yang terbesar pernah dilakukan mana-mana negara, pada 2022 ia dianggarkan bakal mencecah RM80 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2022.

BAGI menangani isu peningkatan subsidi yang kini mencecah hampir RM80 juta setahun duit pembayar cukai, program wakaf boleh menjadi penyelesaian jangka panjang, menurut cadangan seorang ahli ekonomi.

Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak mencadangkan yang Putrajaya boleh menuntut syarikat gergasi dan kumpulan orang terkaya Malaysia untuk menyumbang kepada skim pembiayaan itu.

“Subsidi kita adalah yang terbesar pernah diberikan mana-mana negara, dan memang bantuan tunai hanyalah pelan jangka pendek.

“Perlu ada ‘pembetulan’ supaya situasi kita sekarang tidak menjadi seperti Sri Lanka, apabila subsidi diberikan tanpa kawalan dan pinjaman yang diambil menyebabkan kemuflisan. Malah hutang Sri Lanka juga lebih kecil berbanding kita,” kata Barjoyai kepada The Malaysian Insight apabila ditanya mengenai penyelesaian jangka panjang boleh diambil kerajaan.

Program wakaf ini, katanya, boleh menjadi “sumber khas” bagi memastikan kelangsungan pembiayaan bantuan tunai untuk terus diberikan kepada kumpulan miskin tegar, B40 malah M40.

Dan sumbangan sumber terkaya ini kepada dana wakaf tidak perlu tinggi, tambahnya.

“Satu cara adalah mewajibkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas atau Khazanah, serta syarikat besar seperti Maybank dan Sime Darby atau syarikat tersenarai dalam bursa saham, termasuklah individu terkaya negara, untuk menyumbang hanya satu peratus keuntungan tahunan mereka kepada skim ini.

“Gunakan wang tersebut untuk pelaburan dan pulangan boleh dibelanjakan kepada kumpulan orang miskin dan yang memerlukan. Beri pengecualian cukai kepada mereka yang menyumbang atau benarkan penangguhan cukai.

“Jika dalam tahun pertama kita boleh dapat RM100 bilion, dalam 10 tahun kitab oleh dapat RM1 trilion, itu lebih daripada mencukupi untuk menampung subsidi kita,” kata Barjoyai.

Jumlah subsidi yang terlalu tinggi ditampung kerajaan mencetuskan kebimbangan ramai ahli ekonomi yang menyifatkannya sebagai landasan kemuflisan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2022.

Program subsidi Malaysia yang tidak lestari terus menjadi masalah besar, walaupun kerajaan mengumumkan yang jangkaan perbelanjaan tahun ini sebanyak RM77.3 bilion adalah yang tertinggi dalam sejarah negara.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz juga berkata perbelanjaan subsidi boleh mencecah RM80 bilion tahun ini.

Selain subsidi untuk mengekalkan harga siling makanan, ia juga digunakan untuk bantuan tunai kepada golongan rakyat yang layak, subsidi minyak dan bantuan pertanian kepada nelayan dan pengeluar makanan.

Zafrul turut mengakui yang kerajaan perlu mengkaji “penamatan menyeluruh subsdidi (semasa)” bagi menyalurkan semula simpanan negara kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Ramai ahli ekonomi juga bersetuju yang jika tiada tindakan segera dilakukan, Malaysia akan menuju ke arah kemuflisan.

Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Universiti Putra Malaysia pula berkata Putrajaya perlu menggunakan teknologi terkini bagi pengedaran subsidi yang lebih berkesan.

Beliau bersetuju dengan penerusan bantuan kepada mereka yang memerlukan tetapi mencadangkan penggunaan aplikasi telefon bagi memantau pembelian dan penjualan barangan bersubsidi dengan menggunakan kupon atau baucar digital.

“Bayaran sekali sahaja setiap bulan boleh membantu tetapi ia bukan penyelesaian mutlak, kerana harga akan terus naik. Bantuan tidak semestinya dalam bentuk tunai, ia boleh digantikan dengan baucar menggunakan aplikasi telefon bimbit.

“Baucar boleh digunakan untuk barangan tertentu seperti telur, ayam atau minyak masak peket. Aplikasi ini boleh merekod di mana pembelian dibuat.

“Ini bagi mengelak barangan subsidi dijual kepada penerima yang tidak layak, serta menghalang ketirisan dan pembaziran. Wujud kes apabila penjual menyeludup barangan bersubsidi atau menjualnya kepada pihak ketiga dengan harga lebih tinggi,” kata pengurus pembangunan perniagaan UPM itu. – 4 Julai, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen