PEGUAM Negara (AG) Idrus Harun perlu menjelaskan mengapa beliau membenarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan agensi kerajaan tidak dinamakan bertemu dengan wakil ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, kata Lim Guan Eng.
Pengerusi DAP itu berkata Idrus dianggap menghantar mesej salah kepada rakyat dengan membenarkan pertemuan dengan wakil Low- lebih dikenali dengan Jho Low- yang kini diburu pihak berkuasa itu.
“Idrus tersalah dengan membenarkan AGC untuk berjumpa dengan wakil Low.
“Berbanding memburu Low, Idrus perlu menjelaskan mengapa AGC bersedia berjumpa dengan wakil ahli perniagaan dalam buruan itu.
“Tidakkah Idrus menghantar mesej salah yang pegawai kanan undang-undang Malaysia bersedia berurusan dengan penyagak dan penjenayah dalam buruan berbanding menjunjung undang-undang tanpa gentar dan tidak memihak?” soal ahli Parlimen Bagan dan bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini akhbar The Edge melaporkan Low yang dituduh menggelapkan berbilion ringgit wang 1MDB, menawarkan RM1.5 bilion kepada Putrajaya untuk menyelesaikan dakwaan terhadapnya.
Memetik sumber tidak dinamakan, akhbar itu turut melaporkan yang kerajaan sudah menolak tawaran itu.
Laporan juga mendakwa Low diwakili oleh bekas peguam negara Apandi Ali dalam rundingan itu.
Low dipercayai menjadi dalang skandal 1MDB dan didakwa tanpa kehadiran (in absentia) di mahkamah Malaysia dan AS.
Tambah Lim lagi, Low nampaknya mempunyai pengaruh kuat dalam kerajaan jika dia mampu melantik Apandi untuk bertindak bagi pihaknya dan mengatur pertemuan dengan AGC dan agensi kerajaan yang lain.
Lim turut meminta Apandi menjelaskan hubungannya dengan Low, berkata perkara ini penting kerana bekas peguam negara itu adalah pegawai kanan kerajaan di AGC apabila bekas perdana menteri Najib Razak dibebaskan daripada segala tuduhan salah laku berkaitan 1MDB pada 2016.
Dalam maklum balas kepada laporan itu semalam, Apandi tidak menerangkan tentang dakwaan tawaran dibuat Low bagi penyelesaian kes, dan berkata tujuan pertemuan adalah untuk membincangkan pemulangan duit yang didakwa digelapkan dari 1MDB.
Apandi berkata mesyuarat itu bagaimanapun dibatalkan oleh Jabatan Peguam Negara. – 17 Julai, 2022.
Komen