Peguam negara sahkan tolak tawaran penyelesaian Jho Low


Alfian Z.M. Tahir

JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low ada membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan tahun ini.

Peguam Negara Idrus Harun berkata kesemua tawaran dibuat oleh wakil Jho Low itu ditolak AGC.

Namun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut alasan penolakan itu.

“AGC mengesahkan bahawa dalam tahun ini, Jho Low melalui wakilnya telah membuat percubaan untuk mendapatkan penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.

“Dalam percubaan ini wakil Jho Low telah bertemu dengan beberapa agensi kerajaan Malaysia termasuk AGC.

“Kesemua tawaran penyelesaian daripada wakil Jho Low telah ditolak oleh AGC,” kata Idrus dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan ini dibuat selepas bekas Peguam Negara Mohamed Apandi Ali menjelaskan beliau hanya membantu menetapkan pertemuan pihak Jho Low dengan peguam negara.

Sebelumnya Apandi didakwa menjadi wakil bagi pihak Jho Low dalam rundingan itu.

Awal hari ini akhbar The Edge melaporkan Jho Low menawarkan RM1.5 bilion untuk penyelesaian kesnya kepada Putrajaya.

Jho Low yang kini dalam buruan didakwa menjadi dalang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan didakwa tanpa kehadiran (in absentia) di mahkamah Malaysia dan Amerika Syarikat.

Bekas ketua polis negara Hamid Bador sebelum ini dilaporkan berkata yang Low dilindungi oleh ‘sebuah negara’ dan usahanya membawanya pulang ke tanah air masih tidak membuahkan hasil. 

Jho Low berdepan lima tuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion di Malaysia, manakala Jabatan Kehakiman AS pula mendakwanya kerana bersubahat menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB dan berkonspirasi untuk melanggar Akta Amalan Korupsi Asing AS.

Ahli perniagaan itu berulang kali menafikan penglibatannya dalam skandal itu, sebaliknya berkata dia adalah ‘orang tengah’ untuk Najib Razak yang juga sedang didakwa di mahkamah berkaitan skandal kewangan itu. – 16 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen