Ahli ekonomi tak sehaluan tentang pengeluaran KWSP sekali lagi


Angie Tan

Para pakar ekonomi tidak bersependapat mengenai kempen untuk menyeru kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan sekali lagi wang mereka daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2022.

PAKAR ekonomi tidak sehaluan mengenai kempen dalam talian untuk menekan kerajaan sekali lagi membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu rakyat berhadapan kenaikan harga makanan.

Sejak dilancarkan dua minggu lalu oleh pengamal media sosial Faiq Naqib, kempen itu telah mengumpul lebih 170,000 tandatangan.

Antara yang bersetuju membenarkan orang ramai mengeluarkan wang simpanan mereka ialah perunding kewangan Wong Chai Soon yang berhujah, jika orang ramai tidak dapat bertahan hari ini, “maka tidak ada gunanya bercakap tentang persaraan”.

“Jika kita bercakap tentang keselamatan hidup selepas bersara, kita tidak sepatutnya membenarkan pengeluaran KWSP. Tetapi jika mereka tidak dapat bertahan sekarang, maka tiada hari esok untuk mereka.”

Wong berkata rayuan untuk penarikan balik itu bagi menghadapi tekanan inflasi malah dengan kenaikan harga makanan ketika ini “sedikit masuk akal” berbanding sebelum ini.

Beliau merujuk kepada skim i-Lestari dan i-Sinar yang diperkenalkan kerajaan pada April tahun lepas untuk membantu pencarum mengatasi masalah ekonomi dan kewangan yang mereka hadapi akibat pandemik Covid-19.

Skim pengeluaran i-Lestari melibatkan akaun 2, manakala i-Sinar adalah untuk pengeluaran akaun 1.

i-Lestari membenarkan ahlinya mengeluarkan sehingga RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan manakala i-Sinar membolehkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000.

Pada Julai tahun sama, kerajaan memperkenalkan semula skim i-Citra, yang membolehkan ahli mengeluarkan simpanan sehingga RM5,000.

Bagaimanapun, Wong berkata jika kerajaan serius mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran itu lagi, beliau mencadangkan syarat permohonan dan kelulusan diperketatkan mengikut kes bagi memastikan hanya yang layak boleh membuat pengeluaran.

Seorang lagi ahli ekonomi Phua Lee Kerk berkata bagi memastikan masih ada baki dana yang mencukupi untuk digunakan oleh pencarum semasa persaraan, kerajaan harus pertimbang untuk mengadakan pendekatan serampang dua mata dengan melaksanakan dasar yang membolehkan majikan menaikkan gaji pekerja mereka.

Phua berkata kerajaan boleh pertimbang untuk memberi majikan pelepasan cukai, “jika tidak, tuntutan kenaikan gaji hanya akan berakhir dengan pemberhentian”.

Masa untuk kurang berbelanja

Bagaimanapun ahli ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman Wong Chin Yoong berkata jika kerajaan membenarkan satu lagi pengeluaran KWSP ianya akan memburukkan lagi inflasi kerana kuasa berbelanja rakyat makin tinggi.

Beliau, yang khuatir kerajaan hanya akan menuruti tuntutan itu untuk menggembirakan pengundi dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, turut bertanya adakah inflasi satu bentuk kecemasan sehingga membolehkan ahli KWSP mengeluarkan simpanan mereka.

“Saya tidak fikir begitu,” katanya.

“(Bagi saya) kecemasan itu apabila anda tidak lagi mempunyai cara untuk menjana apa-apa pendapatan. Ia juga sepatutnya menjadi masalah negara, bukan situasi peralihan.”

Beliau juga bertanya sama ada rakyat tahu berapa lama tempoh inflasi akan berlaku.

“Berapa lama mereka perlu buat pengeluaran?

“Sekiranya mereka daripada golongan berpendapatan rendah, akaun mereka boleh habis dalam tempoh kurang sebulan.

“Masalah inflasi terus berlarutan.

“Jadi itu bukan cara yang betul untuk menyelesaikan tekanan inflasi kehidupan,” kata Wong.

Beliau berkata untuk menangani kenaikan harga dan inflasi yang muncul bersama ini adalah dengan melakukan perubahan gaya hidup dan mengurangkan perbelanjaan.

“Buat sedikit simpanan. Anggap sahaja penjimatan sebagai satu jenis penggunaan. Jika anda ada 10 perkara untuk dibeli, maka salah satu daripada 10 perkara anda hendaklah termasuk simpanan.”

Wong Chai Soon, yang turut menentang pengeluaran KWSP, bersetuju dengan Chin Yoong, berkata masa sukar memerlukan keputusan sukar seperti berbelanja lebih sedikit dan menyimpan lebih banyak.

“Jika anda biasa minum teh susu, masa untuk mempertimbangkan untuk minum teh yang lebih murah atau jangan luangkan masa di luar dan buat teh anda di rumah.”

Beliau berkata ketika ini, ramai orang tidak dapat membezakan antara keperluan dan kehendak.

Sementara itu, Chin Yoong berkata jika kerajaan menerima tekanan dan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran, “ia akan memburukkan lagi masalah inflasi”.

Beliau berkata ketika ini dua punca utama inflasi dan kenaikan harga makanan yang dialami negara ialah rantaian bekalan tidak dapat menandingi kadar pemulihan ekonomi yang telah dibuka semula selepas pandemik dan yang kedua ialah kesan perang Rusia-Ukraine.

Beliau juga menyatakan sebab mengapa Bank Negara menaikkan kadar faedah.

“Ia bagi mengelakkan inflasi akibat lebihan permintaan. Jika pengeluaran KWSP diluluskan, impaknya ialah perbelanjaan yang tidak terkawal dan jumlah wang yang memasuki pasaran akan mewujudkan lebih banyak permintaan dan inflasi.” – 15 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen