PUTRAJAYA perlu tegas, jelas dan konsisten dalam mengendalikan pekerja asing bagi memastikan ekonomi tidak terus terjejas, kata Lim Guan Eng.
Bekas menteri kewangan itu turut menyalahkan Menteri Sumber Manusia M Saravanan kerana tidak bertanggungjawab dalam menangani isu pekerja asing khususnya pekerja dari Indonesia.
Lim berkata apabila Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono menggelar Malaysia sebagai aib adalah sangat luar biasa, mendakwa Kementerian Sumber Manusia (KSM) kurang bertindak untuk selesaikan perkara itu.
Beliau berkata Indonesia telah menggelar Malaysia sebagai “memalukan” kerana mungkir janji dalam memorandum persefahaman (MoU) dengan terus menggunakan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) untuk mengambil pekerja.
“MOU itu ditandatangani cuma tiga bulan lepas, dan bagi seorang duta untuk menggunakan bahasa yang keras untuk mengutuk Malaysia adalah luar biasa dan ia diikuti dengan pembekuan sementara ke atas semua pekerja Indonesia yang memasuki Malaysia kerana jabatan imigresen terus menggunakan MOS untuk merekrut pembantu rumah Indonesia.
“Dalam maklum balasnya yang lemah, Saravanan tidak mempertikaikan tuduhan Duta Hermono mengenai Malaysia dilabelkan sebagai memalukan tetapi hanya berkata KSM akan mengadakan perbincangan segera dengan Kementerian Dalam Negeri.
“Saravanan sangat tidak bertanggungjawab apabila Malaysia diserang secara terbuka oleh negara lain kerana mungkir janji,” kata pengerusi DAP itu.
Lim juga bertanya sama ada kerajaan akan membenarkan sistem MOS yang sama untuk mengambil pekerja Indonesia untuk industri lain bagi menampung kekurangan pekerja.
“Bolehkah kerajaan menyatakan dengan jelas bahawa sistem MOS yang sama akan digunakan untuk mengambil pekerja asing Indonesia untuk industri lain bagi menampung kekurangan 1.2 juta pekerja dan mengelakkan kerugian berpuluh bilion ringgit?” tanya ahli Parlimen Bagan.
Semalam, Indonesia berkata ia telah membekukan sementara pekerjanya ke Malaysia, termasuk ribuan yang diambil untuk sektor perladangan, dengan alasan Malaysia melanggar MoU pengambilan pekerja.
Pembekuan itu merupakan tamparan terbaharu bagi Malaysia — pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dan penghubung utama dalam rantaian bekalan global — yang menghadapi kekurangan kira-kira 1.2 juta pekerja yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi. – 14 Julai, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen