INDONESIA membekukan sementara kemasukan semua pekerja ke Malaysia kerana pelanggaran dalam memorandum persefahaman (MOU) mengenai pekerja domestik yang ditandatangani antara kedua-dua negara tiga bulan lalu.
Menurut Malaysiakini, duta republik itu ke Malaysia, Hermano berkata komunikasi rasmi mengenai perkara itu dihantar kepada Menteri Sumber Manusia M Saravanan semalam.
“Menteri telah dimaklumkan mengenai hasrat kami untuk mengenakan semula pembekuan sementara pengambilan tenaga kerja Indonesia ke semua sektor di Malaysia berkuat kuasa serta-merta,” katanya seperti dipetik portal berita itu.
Tambah Hermano, semua agensi pengambilan di Indonesia sudah dimaklumkan semalam (Selasa) dan akan mematuhinya.
Bercakap lanjut, Hermano berkata Indonesia mempunyai bukti kukuh yang Putrajaya menggunakan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) dalam pengambilan pembantu rumah, yang merupakan pelanggaran MoU.
“Kami mempunyai bukti kukuh bahawa Jabatan Imigresen, di bawah Kementerian Dalam Negeri, terus menggunakan MOS untuk memudahkan pengambilan pekerja domestik Indonesia ke Malaysia,” katanya.
Pada Mac, kerajaan Malaysia dan Indonesia mencapai persetujuan mengenai draf akhir MoU mengenai penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia di Malaysia.
Kementerian Tenaga Kerja Indonesia berkata jadual untuk menandatangani perjanjian antara Menteri Ida Fauziyah dan Saravanan sedang dimuktamadkan.
MoU itu bersetuju mengenai gaji, kelayakan cuti mingguan dan tahunan, larangan menahan pasport, hak untuk berkomunikasi dan hanya seorang pembantu rumah bagi setiap isi rumah yang terdiri daripada enam orang.
“Sistem satu saluran” akan diperkenalkan untuk menyepadukan proses penempatan pekerja domestik daripada pengambilan, penyediaan dan pelepasan kepada penempatan dan pemulangan yang dipantau oleh kerajaan.
Hermano berkata semua permohonan baharu akan ditangguhkan bersama-sama 15,000 hingga 20,000 permohonan yang diterima sebelum ini.
Beliau mengesahkan permohonan untuk pembantu rumah hanya mencecah 16 orang tetapi tiada yang tiba di Malaysia selepas menandatangani MoU pada 1 April.
Satu jawatankuasa khas diketuai oleh ketua setiausaha kementerian kedua-dua negara akan bermesyuarat tiga bulan sekali bagi memantau pelaksanaan MoU itu. – 13 Julai, 2022.
Komen