KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tentang cara menangani isu pekerja asing Indonesia selepas republik itu memutuskan untuk membekukan sementara semua pekerjanya ke Malaysia.
“Perbincangan akan fokus kepada cara tangani isu pekerja asing Indonesia ke Malaysia.
“Ini selepas Indonesia putuskan untuk beku pekerja asing daripada masuk ke negara,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Awal hari ini, Malaysiakini memetik duta Indonesia ke Malaysia, Hermano sebagai berkata komunikasi rasmi mengenai perkara itu dihantar kepada Menteri Sumber Manusia M Saravanan semalam.
“Menteri telah dimaklumkan mengenai hasrat kami untuk mengenakan semula pembekuan sementara pengambilan tenaga kerja Indonesia ke semua sektor di Malaysia berkuat kuasa serta-merta,” katanya seperti dipetik portal berita itu.
Tambah Hermano, semua agensi pengambilan di Indonesia sudah dimaklumkan semalam (Selasa) dan akan mematuhinya.
Bercakap lanjut, Hermano berkata Indonesia mempunyai bukti kukuh yang Putrajaya menggunakan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) dalam pengambilan pembantu rumah, yang merupakan pelanggaran memorandum persefahaman (MoU).
“Kami mempunyai bukti kukuh bahawa Jabatan Imigresen, di bawah Kementerian Dalam Negeri, terus menggunakan MOS untuk memudahkan pengambilan pekerja domestik Indonesia ke Malaysia,” katanya.
Pada Mac, kerajaan Malaysia dan Indonesia mencapai persetujuan mengenai draf akhir MoU mengenai penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia di Malaysia.
Kementerian Tenaga Kerja Indonesia berkata jadual untuk menandatangani perjanjian antara Menteri Ida Fauziyah dan Saravanan sedang dimuktamadkan.
MoU itu bersetuju mengenai gaji, kelayakan cuti mingguan dan tahunan, larangan menahan pasport, hak untuk berkomunikasi dan hanya seorang pembantu rumah bagi setiap isi rumah yang terdiri daripada enam orang.
“Sistem satu saluran” akan diperkenalkan untuk menyepadukan proses penempatan pekerja domestik daripada pengambilan, penyediaan dan pelepasan kepada penempatan dan pemulangan yang dipantau oleh kerajaan. – 13 Julai, 2022.
Komen