Lembaga zakat Kedah bantu bina semula rumah mangsa banjir Baling


Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman berkata pembinaan semula rumah akan dibuat di atas tanah seluas dua ekar di Kampung Sadek, Kupang seperti diumumkan menteri besar. – Gambar Facebook, 13 Julai, 2022.

LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan membantu membina semula rumah golongan miskin dan fakir yang musnah dan rosak teruk akibat banjir dan kepala air di Baling pada 4 Julai lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman berkata ketika ini pihaknya sedang mendapatkan senarai penduduk yang layak daripada Pejabat Daerah dan Tanah Baling sebelum pembinaan semula rumah dilaksanakan.

Menurutnya pembinaan semula rumah akan dibuat di atas tanah seluas dua ekar (0.809 hektar) di Kampung Sadek, Kupang seperti yang telah diumumkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini.

“Fasa cuci rumah dah selesai dan sekarang fasa bangun semula kehidupan penduduk sama ada bina baru, baiki dan beli peralatan di dalam rumah bagi mangsa banjir yang layak.

“Kita akan sediakan peruntukan selepas jumlah sebenar mereka yang layak mendapat bantuan itu, diperoleh daripada Pejabat Daerah dan Tanah Baling,” katanya kepada pemberita pada Majlis Agihan Daging Korban Kepada Asnaf negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata LZNK turut menerima sumbangan daripada agensi zakat negeri lain untuk disalurkan kepada mangsa banjir. – Bernama, 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen