Kalau Tok Mat tak u-turn


Fakhrurrazi Rashid

MINGGU ini terdapat dua orang “Mat” menjadi popular dalam kalangan rakyat. Pertama, filem Mat Kilau. Kedua, berita Tok Mat mengatakan Najib Razak perlu ke penjara akibat kesalahannya dalam wawancara dengan Asia Times.

Berita Tok Mat atau Mohamad Hasan, orang nombor dua Umno lebih mengemparkan. Buat seketika, rakyat dihidangkan satu laporan media menampilkan keberanian pemimpin utama Umno melawan kleptokrasi.

Tetapi, selepas berita itu keluar, Tok Mat menafikan kenyataan tersebut. Beliau mendakwa ulasannya diambil oleh Asia Times di luar konteks.

Kemudian, berduyun-duyun pemimpin Umno cuba mempertahankan Tok Mat. Puad Zarkashi, bekas kepala JASA dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, mengatakan Asia Times cuba “spin” temu bual Tok Mat bagi menimbulkan “cerita panas bodoh”.

Demi menjaga integriti, Nick Kochan dan Nile Bowie, dua orang wartawan Asia Times yang menemu bual Tok Mat, mendedahkan rakaman penuh temu bual mereka bersama Tok Mat di Twitter. Nampaknya, Asia Times tidak pernah cuba buat cerita bodoh.

Bak kata pepatah Melayu “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa”. Tapi, dalam politik, boleh jadi sebaliknya. Walaupun terlajak kata berapa banyak sekalipun, ada 1,000 langkah lagi untuk Tok Mat menafikan kenyataan beliau itu.

Kalau kekal konsisten

Bagaimana pula kalau Tok Mat tidak buat u-turn dalam mengatakan Najib perlu dihumban dalam penjara? Apakah Tok Mat akan hilang segala-galanya? Apakah Umno terus tumbang?

Jika Tok Mat konsisten dengan kenyataan disebutkan dalam Asia Times, sekurang-kurangnya ia menunjukkan masih ada pemimpin Umno mempunyai prinsip dan integriti yang layak menerajui Umno. Mungkin, lebih layak menjadi bakal perdana menteri berbanding Ismail Sabri Yaakob.

Sudah pasti sebahagian daripada warlord Umno dan penyokong tegar Bossku akan mengutuk Tok Mat. Namun, masih ada sebahagian besar rakyat akan memberi perhatian dan sokongan penuh kepada Tok Mat.

Dalam erti kata lain, Tok Mat boleh menang Malaysia jika menyatakan kebenaran Najib perlu ke penjara atas kesalahan yang beliau lakukan kepada negara dan bangsa.

Menampilkan wajah Tok Mat mengetuai Umno dan BN sudah pasti memberi saingan hebat kepada pihak lawan pada PRU15. Kejayaan Tok Mat menjadi pengarah pilihan raya memenangkan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sudah cukup membuktikan Tok Mat punyai kelebihan mengetuai Umno dan BN.

Dari sudut yang berbeza, Tok Mat tahu faktor Bossku ini bukan faktor utama BN menang di kedua-dua PRN. Faktanya, peratusan undi dimenangi BN dalam PRN Melaka dan Johor sama dengan PRU14. Peratusan keluar mengundi rendah dan perpecahan pembangkang merupakan faktor utama BN kembali menjadi kerajaan dengan majoriti besar.

Kenapa takut?

Jadi, mengapa masih berpaut kepada Najib? Bukankah Umno sepatutnya menjauhi Najib dan kes 1MDB untuk memasuki PRU15 dengan segar seperti yang dikatakan Ismail Sabri?

Kalau ikutkan sejarah, orang nombor dua Umno antara yang paling kontroversi dan selalunya “rebel” dengan presiden. Riwayat timbalan presiden jenis rebel ini hampir sama, sama ditendang keluar daripada saf kepimpinan parti atau dipecat dari Umno, seperti yang berlaku ke atas Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim.

Timbalan presiden Umno yang berjaya menjadi presiden dan perdana menteri lebih sedekad yang lalu hanyalah Najib. Itupun beliau terpaksa menggunakan langkah politik untuk menyingkirkan Abdullah Badawi sebagai perdana menteri.

Ikutkan situasi hari ini, Najib bukan lagi presiden Umno. Ahmad Zahid Hamidi hanyalah presiden yang berselindung di sebalik bayangan Najib dan mempunyai rekod yang terlampau buruk untuk parti.

Jadi, mengapa Tok Mat masih takut dengan kedua-dua individu ini?

Malangnya, Tok Mat terus memilih bersama kleptokrasi berbanding kebenaran. Tok Mat sanggup memilih Bossku berbanding segerombolan rakyat Malaysia yang akan menyokong pemimpin berintegriti dalam Umno.

Ketakutan Tok Mat kepada Najib dan Zahid ini bermaksud ada udang di sebalik batu. Mungkin, keputusan U-turn Tok Mat ini menunjukkan Najib ingin kembali menjadi perdana menteri pada PRU15. Dan, ia memberi refleksi Umno/BN tidak jujur untuk berubah.

Kalah masa depan

Tok Mat nampaknya sudah kalah masa depan sebelum waktunya sampai. Jika orang nombor dua Umno pun masih lagi takut dengan bayang-bayang kleptokrasi dan Bossku, dakwaan yang mengatakan Umno boleh diubah “dari dalam” tentunya retorik semata-mata.

Walaupun Umno/BN dilanda ribut, pihak pembangkang masih lagi kaku dalam membuat langkah. Ada sebahagian sudah mula berkempen dan ada sebahagian yang lain berangan-angan Mat Jenin sehingga mengulangi peristiwa kerajaan 22 bulan. Ini satu dilema yang akhirnya membuatkan rakyat muak dan tidak keluar mengundi.

Isu Tok Mat dan Asia Times ini hanya memperkuatkan lagi hujah kem Ismail Sabri untuk mengadakan pemilihan Umno dalam masa terdekat. Lagi lama Tok Mat menafikan kebenaran, lagi kuat kem Ismail Sabri mahu menguasai Umno dan mungkin boleh mengambil alih pucuk pimpinan Umno secara total.

Nyawa Tok Mat sebagai timbalan presiden Umno seperti telur di hujung tanduk sekiranya Ismail Sabri dapat mengumpulkan kekuatan untuk menang pemilihan parti. Melainkan, Tok Mat dapat bekerjasama dengan Ismail Sabri untuk membawa Umno.

Persoalannya sekarang, adakah Tok Mat dan Kluster Mahkamah bersedia sekiranya pindaan perlembagaan Umno membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas pilihan raya umum tidak diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan? – 8 Julai, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen