Mek Mulung dan perubahan teater tradisional Melayu


Naim Al-Kalantani

“HIKAYAT Melayu sangat rendah mutunya. Ia rumit, lewah dan gah semata tapi tepu dengan pengulangan dan pelencongan,” Wilkinson berkata sambil menghisap paip.

Winstedt mendengar teliti, sambil menghidupkan gobek api, lalu menambah, “aku setuju! Hikayat Melayu itu dimanipulasi oleh orang yang bodoh tentang sekitarnya, masa dan hakikat sejarah.”

Mungkin sebegitulah perbualan sarjana orientalis, RO Winstedt dan RJ Wilkinson jika bercerita mengenai sastera lisan Melayu. Masih terngiang-ngiang di telinga bagaimana Amin Sweeney (2020) membidas dua orang sarjana ini yang bersikap tidak adil terhadap teater tradisional Melayu.

Inilah bayangan saya ketika Sabtu dan Ahad lalu menonton Mek Mulung di MaTiC Kuala Lumpur.

Selepas menonton Hikayat Puteri 12 Beradik dan Lakhon Dewa Muda menjadikan saya lebih ghairah dalam menekuni sastera lisan Melayu ini.

Beberapa pemain Mek Mulung bergabung, paling gah bila penganjur membawa kumpulan Mek Mulung dari Wang Tepus, Kedah – saya teruja kerana tidak sampai sebulan lagi saya membaca buku susunan Zinitulniza Abdul Kadir (2014) berkenaan kesenian dan keghaiban Mek Mulung.

Kumpulan yang datang dari tempat asal muasal Mek Mulung itu bergandingan bersama tokoh dan penggiat Mek Mulung yang lain, ditambah seri oleh pelajar-pelajar ASWARA menjadikan dua persembahan ini mempunyai persamaan dan perbezaan yang sangat menarik untuk dibicarakan.

Semasa Lagu Bertabuh lagukan – dalam kedua-dua persembahan – mesejnya sama, tetapi tempo atau rentaknya berbeza. Mungkin pengulangan mesej yang sama inilah yang menjadikan Wilkinson menyatakan ayat kurang ajar tersebut.

Tetapi mungkin dia sendiri tidak mengetahui bahawa istiadat buka panggung teater tradisional inilah yang penting. Zinitulniza menyatakan bahawa secara tradisinya majlis membuka panggung ini akan dimulai dengan persembahan muzik.

Muzik itu akan menarik perhatian orang kampung untuk hadir menonton perwayangan tersebut. Apakah Wilkinson kira zaman itu ada WhatsApp untuk memanggil penonton datang ke tempat persembahan?

Lagu Bertabuh ini sangat panjang. Saya kira lebih 10 minit dipersembahkan. Saya dapat menebak atau menemukan signifikan mengapa ia terlalu lama. Memanggil orang kampung bukannya satu kerja yang sementara, ia memerlukan masa untuk memenuhi ruang balai atau bangsal.

Mek Mulung agak berbeza dengan wayang kulit. Muhammad Haji Salleh (2005) menyatakan persembahan wayang kulit dipersembahkan bermusim dan dia telah dimaklumkan awal beberapa hari atau beberapa minggu sebelum persembahan bermula.

Selepas Lagu Bertabuh, kedua-dua teater ini sama modalnya – dipersembahkan lagu untuk memanggil watak Peran. Saya tercelik menonton sketsa ini. Panggilan Peran di awal cerita menjadikan cerita itu penuh humor dan gimik.

Peran mengenakan topengnya yang menakutkan tetapi berperwatakan lucu itu dapat membuatkan penonton terbahak dan tidak bosan.

Peran sememangnya watak yang ditunggu-tunggu dalam semua persembahan Mek Mulung. Watak raja atau Dewa Muda jatuh di tangga nombor dua dek kerana Peran lebih menguasai hati penonton. Peran Muda dan Peran Tua melafazkan dialog-dialog kelakar tetapi tidak lari dari naratif cerita. Mereka cukup berpengalaman dan menguasai pentas persembahan.

400 tahun lalu Mek Mulung dikatakan mula wujud, tetapi lawak-lawak dari watak Peran ini sangat kontemporari. Mereka berubah mengikut zaman dan itulah yang sedang mereka usahakan untuk memperkenalkan kepada masyarakat muda di luar sana. Lawak seperti filem Mat Kilau, generasi TikTok, Geng Jerung Merah dan rujukan-rujukan pop culture semuanya ditapau oleh watak Peran dan inang-inang.

Persembahan hari pertama – mata saya berkolam. Di samping ragam dan gelagat Peran dan inang-inang itu sendiri, klimaks cerita ini memberi contoh terbaik bahawa bagaimana sastera lisan ini bukan untuk memuji golongan atasan.

Melalui cerita ini, Zamzuriah Zahari sebagai penulis – mungkin secara tidak sedar – membuktikan bahawa golongan elit bukanlah orang yang suci dan tidak pandai berbuat salah. Mereka juga manusia dan rakyat ada ceritanya yang tersendiri untuk mengekspresikan naratif dan cerita mereka.

Walaupun nada ini sedikit berbeza dengan tesis Amin Sweeney yang menyatakan bahawa cerita golongan proletar dan juga aristokrat sama – dengan hujah penempatan masyarakat setempat berada di sekitar istana, mustahil untuk cerita dua golongan ini berbeza – saya mengajukan sedikit kemusykilan untuk hal ini. Saya tidak fikir golongan atasan tidak memahami jalan cerita yang dipersembahkan itu memperlekehkan mereka.

Syarifah Maznah Syed Omar (1993) menyatakan salah satu daripada tiga pandangan ideal kelas ialah mempersembahkan golongan raja sebagai seorang yang suci. Agak mustahil bagi saya untuk persembahan Mek Mulung sebegini adalah hiburan untuk raja juga.

Selepas persembahan, saya naik ke pentas untuk mengucapkan tahniah kepada junior – dia menjadi penyanyi dan pelakon. Husna Bunga bertanya yang manakah persembahan yang lebih menarik, hari Jumaat atau Sabtu? Saya berterus terang, persembahan Jumaat lebih menarik.

Dia mengiayakan tetapi menambah, “tapi yang hari ini lebih banyak aksi spontan.” Saya terkejut. Dia menyambung, “Ya, Cikgu Zamzuriah yang minta aku berlakon. Yang aku jadi orang kampung tadi, itu semuanya spontan.”

Saya menebak bahawa memang sangat banyak aksi spontan. Paling saya terkejut ialah mereka menarik naik dua orang penonton untuk turut berlakon sama. Di pentas yang besar, dipenuhi dengan segala set, aksi spontan ini bukanlah sesuatu yang biasa jika ia melibatkan teater moden.

Lakonan spontan, dialog, gelagat-gelagat kebanyakannya tidak ditulis. Mungkin pelakon telah diberikan skrip, tetapi sebagai teater tradisional yang masih tidak hilang lagi ciri-ciri sastera lisan, itulah yang terjadi.

Amin Sweeney juga menggambarkan perihal yang sama panjang lebar dalam bukunya Budaya Lisan Melayu: Konsep dan Amalan berkenaan bagaimana kehebatan masyarakat Melayu dalam lakonan spontan ini. Saya kira teater moden tidak mampu untuk membuat perkara ini.

Dua persembahan Mek Mulung di MaTiC menjadikan saya lebih menghargai warisan Melayu. Saya bersyukur ia tidak hilang dan masih dimainkan di bandar-bandar besar. Improvisasi pelakon dan ceritanya boleh mendapat tempat dalam kalangan anak-anak muda bandar.

Biasanya masyarakat akan melihat tajuk cerita dan posternya. Tajuk yang berbaur klasik, dan poster yang menunjukkan pelakon mengenakan busana – mungkin sedikit menjauhkan dari golongan muda. Tetapi mengikut pepatah, jangan menilai buku dari kulitnya.– 6 Julai, 2022.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen