Lebih separuh rakyat Johor terbeban kewangan


Sheridan Mahavera Mohd Farhan Darwis

Lebih 62% penduduk Johor yang terlibat dalam kaji selidik Merdeka Center percaya keadaan ekonomi negara semakin memburuk berbanding setahun yang lalu sementara 22% berkata ia bertambah baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2018.

ALIAS Mohd Jamil sepatutnya sudah boleh duduk di rumah menghabiskan zaman persaraannya dengan bermain bersama cucu. Tetapi beliau memandu teksi sementara isterinya mengendalikan perniagaan yang menghantar makan tengah hari kepada pelanggan, untuk menyara hidup mereka berdua.

Walaupun dua anaknya sudah makan gaji, Alias, 56, pesara dari Senai, tidak mahu menambah beban hidup mereka yang sudah ada keluarga sendiri.

“Selagi boleh saya tidak mahu menyusahkan anak-anak dan saya tidak mahu anak-anak menyusahkan saya dan isteri,” katanya, ketika ditemui The Malaysian Insight di Johor Bahru, baru-baru ini.

Alias mewakili pandangan lebih setengah rakyat Johor (51%) yang mengambil bahagian dalam satu kaji selidik yang dijalankan pada Januari lepas, yang mengatakan kedudukan kewangan mereka kini lebih buruk berbanding setahun lalu.

Dapatan kajian itu sama dengan kaji selidik di negeri lain yang menunjukkan isu sehari-harian seperti kos sara hidup, gaji yang tidak naik, rumah tidak mampu milik sebagai antara keresahan utama pengundi menjelang Plihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Johor adalah negeri tumpuan pada PRU14. Pakatan Harapan (PH) yakin ia boleh menumbangkan Barisan Nasional (BN) di negeri kubu kuat pemerintah itu dengan kempennya berhubung isu bagaimana lemahnya kerajaan menguruskan ekonomi.

Kaji selidik Merdeka Center itu juga menunjukkan 64% daripada 1,007 responden yang tinggal di Johor tidak puas hati dengan cara kerajaan persekutuan menangani ekonomi.

Lebih daripada 62% percaya keadaan ekonomi semakin memburuk berbanding setahun yang lalu sementara 22% berkata ia bertambah baik.

Sejumlah besar responden turut memberikan jawapan negatif kepada soalan apakah mereka bersetuju dengan pemimpin nasional yang menasihati rakyat supaya berjimat menghadapi inflasi yang tinggi.

Sejumlah 47% yang mengambil bahagian dalam kaji selidik ini tidak bersetuju dengan nasihat itu sementara 51% bersetuju.

“Sentimen terhadap ekonomi nasional pada umumnya negatif… Ini bertentangan dengan angka-angka pertumbuhan makro ekonomi yang dicatatkan pada 2017,” kata Merdeka Center.

Penganalisis kewangan dan kerajaan menganggarkan ekonomi negara berkembang antara 5.2% dan 5.8% pada 2017, mengatasi jangkaan awal.

Pentadbiran Najib Razak mengatakan angka-angka yang meningkat itu bukti ia mengendalikan ekonomi negara dengan baik.

Kaum India paling terjejas

Kaji selidik itu melibatkan 55% responden Melayu, 38% Cina dan 7% India yang berumur tidak kurang 21 tahun. Hampir separuh atau 48% daripada mereka berumur antara 21 hingga 50 tahun.

Majoriti atau 66% mempunyai pendapatan tidak lebih RM4,000 sementara mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan membentuk kumpulan paling besar responden iaitu 36%.

Sebanyak 11% daripada responden berpendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan sementara hanya 6% atau 60 orang berkata pendapatan mereka lebih RM7,000 sebulan.

Lebih kurang 63% tinggal di kawasan bandar manakala 61% berkata mereka menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Pandangan negatif tentang isu-isu ekonomi merentas garis kaum dengan majoriti dalam kalangan semua etnik mengatakan keadaan adalah lebih baik pada tahun sebelumnya.

Kira-kira 52% responden Melayu merasakan ekonomi bertambah buruk berbanding 76% Cina dan 62% India.

Responden India kelihatan paling teruk terjejas dengan 61% daripada mereka berkata kedudukan kewangan mereka merosot berbanding 52% Cina dan 49% Melayu.

Sebanyak 35% responden Melayu berkata kedudukan kewangan mereka semakin baik, manakala India 21% dan Cina 15%.

Lebih kurang 32% responden Cina berkata keadaan mereka kekal tidak berubah berbanding setahun yang lalu sementara India 18% dan Melayu 16%.

Kira-kira 72% responden Cina tidak puas hati dengan cara kerajaan menangani ekonomi diikuti 66% India dan 53% Melayu. – 21 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kaji selidik tida merangkumi bancian seluruh kawasan,data yang tidak persis.Mereka sengaja memberikan tekanan kepada kerajaan untuk mendapatkan sokongan undi terhadap rakyat johor.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan

  • Kaji selidik tidak merangkumi bancian seluruh kawasan,data yang tidak persis.Mereka sengaja memberikan tekanan kepada kerajaan untuk mendapatkan sokongan undi terhadap rakyat johor.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan

  • Lebih banyak perbandingan kita buat dengan keadaan di negara jiran kita, lebih banyak kita rasa kerajaan kini tidak upaya memulihkan keadaan teruk ini. Cuma orang yg berkuasa dan kaya kata masa depan baik. Memang begitu krn mereka tak dijejas.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan