Lonjakan eksport durian beku ke China cetus kekurangan bekalan cecair nitrogen


Khoo Gek San

Cecair nitrogen digunakan untuk membekukan durian dengan cepat dalam masa satu jam kepada suhu -18 darjah Celsius, bagi mengekalkan tekstur dan rasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2022.

SEJAK Malaysia mula mengeksport keseluruhan durian beku ke China pada 2019, permintaan terhadap raja buah itu melonjak hingga menyebabkan bekalan cecair nitrogen tidak mencukupi untuk menampung pengeluaran yang lebih tinggi dari ladang, kata pengeksport.

Masalahnya adalah permintaan cecair nitrogen lebih tinggi daripada Petronas, dan pengeluar lebih gemar memberi kontrak lebih besar kepada syarikat minyak dan gas negara itu berbanding memenuhi keperluan pengeksport durian yang pesanannya bermusim dan jumlahnya lebih kecil.

Pengasas Duricious Sdn Bhd, Simon Chin berkata, ini kali pertama dalam tempoh 14 tahun berkecimpung dalam perniagaan durian, beliau mengalami kekurangan sebegitu.

Chin berkata lebih ramai usahawan menggunakan trend eksport durian kerana permintaan pengguna yang tinggi.

Oleh itu, pengeluaran, terutamanya varieti Musang King, meningkat apabila lebih banyak tanah dibuka.

“Banyak kilang pemprosesan durian meningkatkan permintaan mereka untuk cecair nitrogen. Bagaimanapun, terdapat hanya tiga syarikat yang mengeluarkan cecair nitrogen di Malaysia, dan ia kekurangan bekalan.

“Jika masalah itu tidak dapat diselesaikan tahun ini, ia mungkin menjadi krisis eksport durian,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

Cecair nitrogen digunakan untuk membekukan durian dengan cepat dalam masa satu jam kepada suhu -18 darjah Celsius, bagi mengekalkan tekstur dan rasa.

Menurut perjanjian dengan China, Malaysia hanya boleh mengeksport keseluruhan durian jika ia dibekukan.

Chin berkata harga cecair nitrogen kini 200% lebih tinggi daripada sebelumnya, dan kilang pemprosesan durian tidak menerima jumlah yang mereka pesan, jika ada.

“Sebagai contoh, jika 20,000 liter diperlukan, hanya 5,000 liter dihantar.”

Chin berkata beliau memahami pengeluar cecair nitrogen akan memenuhi tempahan daripada Petronas dan pelanggan lain yang memerlukan jumlah penyejuk lebih besar daripada loji pemprosesan durian.

Menurutnya, pengeluar cecair nitrogen juga tidak boleh meningkatkan pengeluaran mereka tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Tetapi beliau bimbang keadaan itu akan meningkatkan kos pengeluaran pemprosesan dan pengeksportan durian, sekali gus menyebabkan kerugian.

“Durian mempunyai jangka hayat yang sangat singkat, ia akan merosot dalam masa seminggu. Harga cecair nitrogen semakin mahal, dan ia masih kehabisan stok.

“Kami melihat sekeliling untuk kilang yang masih mempunyai cecair nitrogen daripada membelinya pada harga tinggi. Malah ada yang datang dari Singapura, tetapi ini tidak mampan kerana harganya terlalu tinggi,” kata Chin.

Untuk mengelakkan pembaziran durian, buah-buahan yang tidak boleh dibekukan dijadikan tempoyak atau puri.

Chin berkata jumlah eksport syarikatnya adalah sebanyak 80 kontena durian beku tahun lepas. Setakat ini, ia sudah mencecah 100 kontena. – 4 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen