Pelancaran Perikatan Kelantan isyarat Bersatu, PAS kukuh, kata pemimpin parti


Diyana Ibrahim

Muhyiddin menyifatkan pelancaran PN di Kelantan antara program terbesar gabungan itu malah lebih besar daripada pelancaran di Johor yang pernah ditadbir Bersatu.– Gambar Facebook, 4 Julai, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) memulakan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan melancarkan gabungan itu di Kelantan kelmarin yang menandakan kerjasama kukuh Bersatu dan PAS, kata pimpinan parti dan penganalisis politik.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata Bersatu dan PAS tidak boleh dipisahkan manakala sokongan kepada satu parti adalah sokongan kepada parti yang lagi satu.

“Apabila disebut PAS bermakna parti Islam itu menyokong PN dan Bersatu merupakan sebahagian daripada PN.

“Jadi semangat baharu ini menterjemahkan kekuatan PN sebagai wadah politik baharu di negara ini,” katanya di hadapan kira-kira 30,000 hadirin yang datang pada majlis pelancaran PN Kelantan di Tanah Merah, pada Sabtu.

Menurut Muhyiddin, gabungan Bersatu dan PAS akan membentuk kekuatan baharu yang mampu menang 100 peratus di Kelantan.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar melihat pelancaran PN Kelantan isyarat bahawa Bersatu ingin mendapatkan sokongan penuh daripada PAS untuk menguatkan gabungan itu.

PN didaftarkan sebagai parti politik pada Ogos 2020, hampir enam bulan selepas episod percaturan politik Langkah Sheraton yang menyingkirkan Pakatan Harapan dari Putrajaya dan beberapa negeri.

PAS memilih menyertai PN walaupun ketika itu menjalin kerjasama dengan Umno atas nama Muafakat Nasional (MN) yang bentuk pada September 2019. 

Umno pula menolak masuk PN dan seterusnya membuat ketetapan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya.

Muhyiddin berkata gabungan Bersatu dan PAS akan membentuk kekuatan baharu yang mampu menang 100 peratus di Kelantan.– Gambar Facebook, 4 Julai, 2022.

Menurut Hisomuddin, beliau melihat pengukuhan PN di Kelantan sebagai usaha mengelak hubungan Bersatu dan PAS terjejas akibatvisu berbangkit, antaranya khemah besar dengan pembangkang dan pengguna logo dalam pilihan raya.

“Apa yang kita lihat sekarang kepimpinan Muhyiddin perlu menunjukkan kekuatan PN  untuk mendapatkan sokongan daripada PAS.

“Apabila Muhyiddin nak berunding dengan PH, PAS menolak PH dan penjajaran baharu, jadi telah wujud elemen ada sebahagian pimpinan berpendapat PAS perlu guna bendera sendiri dalam PRU15. Ini bermakna untuk PAS bergerak secara solo.

“Kerana itu kita lihat Muhyiddin (kelmarin) berkata PAS menggunakan logo PN.

“Secara umum saya boleh faham program PN dibuat di Kelantan kerana ada signifikan Bersatu nak dapatkan sokongan daripada PAS bagi menguatkan PN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Muhyiddin kelmarin menyifatkan pelancaran PN di Kelantan antara program terbesar gabungan itu, malah lebih besar daripada pelancaran di Johor yang pernah ditadbir Bersatu.

Ketua Bahagian Bersatu Pasir Mas Che Johan Che Pa berkata kehadiran Muhyiddin bersama pemimpin PAS seperti di Kelantan mustahak kerana masih ada rakyat yang menganggap bekas perdana menteri itu masih bersama Umno.

“PN perlu buat lebih lagi promosi kerana rakyat suka Muhyiddin tetapi mereka tidak terima PN, kerana ingat Muhyiddin masih lagi dalam Umno. Perkara itu perlu dijelaskan, selain isu penting negara,” katanya.

Che Johan menolak tanggapan hadirin besar di majlis pelancaran PN itu kerana tarikan gula-gula pelbagai hadiah yang ditawarkan ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz. Majlis kelmarin menawarkan cabutan bertuah dengan hadiah sebuah kereta yang pemenangnya diumumkan pada hujung acara.

“Saya tidak rasa yang datang semalam itu hanya semata-mata tertarik dengan hadiah. Jika orang menolak satu parti itu, bagi apa pun, mereka takkan datang atau majlis itu tidak ada sambutan, tapi ini sangat berbeza. “Bahkan pimpinan PAS kawasan juga mengakui kehadiran orang ramai itu mengejutkan kerana selepas PRU14, PAS sendiri mengalami kesukaran mengumpulkan sebegitu ramai dalam majlisnya,” katanya.

Sementara itu Ketua Bahagian Tanah Merah, Bahari Mohd Nor berkata pelancaran PN Kelantan akan lebih melancarkan lagi gerak kerja jentera Bersatu dan PAS untuk menghadapi PRU15.

Katanya, biarpun kerjasama itu sudah wujud sejak selepas episod Langkah Sheraton, PN di peringkat negeri dan bahagian belum ada struktur yang jelas.

“Ia sebenarnya untuk organisasi itu lebih berstruktur. Gabungan kita akan ada bersama di setiap kawasan parlimen bagi melengkapkan jentera bersama. Apabila ada struktur akan lebih tersusun, jadi rakyat akan nampak siapa pengerusi, timbalan dan ahli jawatankuasanya.

“Ini yang kita mahu lengkapkan sehinggalah di peringkat pusat daerah mengundi,” katanya.

Susulan pelancaran PN Kelantan, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin semalam mengumumkan pelantikan 13 ketua badan perhubungan PN peringkat kawasan.

Bahari menolak jentera parti yang ditubuhkan ini ada kaitan dengan pengagihan kerusi PRU15.

“Seperti yang dimaklumkan Muhyiddin, ia langsung tidak melibatkan pembahagian kerusi. Ini cuma sekadar gerak gempur jentera di bawah,” katanya. Selain Bersatu dan PAS, PN juga disertai Gerakan dan dua parti di Sabah iaitu Star dan SAPP.  – 4 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen