Takiyuddin, Radzi, Mustapa antara 13 ketua badan perhubungan Perikatan Kelantan


Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan antara 13 nama yang dilantik sebagai Ketua Badan Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional (PN) Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2022.

TIGA menteri Kabinet antara 13 yang baharu dilantik sebagai Ketua Badan Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional (PN) Kelantan.

Mereka adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin (Ketereh) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) merangkap Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed.

Turut dilantik ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah bagi kawasan Pengkalan Chepa dan Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata Ketua-ketua Badan Perhubungan Kawasan PN itu dilantik Pengerusi perikatan tersebut Muhyiddin Yassin selaras dengan Fasal 22.2 (I) Perlembagaan PN.

“Pelantikan Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN bagi Tumpat pula akan dimuktamad dan dimaklumkan dalam masa terdekat. 

“PN merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan ini dan percaya mereka akan memperkasa gerak kerja dan jentera organisasi pilihan raya PN di peringkat akar umbi di seluruh Kelantan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikut senarai penuh Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Kelantan:

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah (Pengkalan Chepa)

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) 

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan Hanifa Ahmad (Pasir Mas)

Yang Dipertua PAS Rantau Panjang Abdul Fatah Harun (Rantau Panjang)

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Tumboh Abd Rahman Yunus (Kubang Kerian) 

Adun Tawang Datuk Hassan Mohamood (Bachok)

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin (Ketereh) 

Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah)

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Pasir Puteh)

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kelantan Dr Mohamed Fadzli Hassan (Machang) 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed (Jeli) 

Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai)

Ketua Bahagian Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang). – Bernama, 3 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen