AKTIVIS alam sekitar menggesa kerajaan negeri Kelantan lebih kreatif mencari kaedah lain untuk menjana pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada sumber pembalakan sehingga menjejaskan tanah adat Orang Asli.
Mereka berkata
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata aktiviti pembalakan tersebut hanya menguntungkan segelintir pihak serta tidak membawa faedah kepada alam sejagat.
“Kami dari Peka sangat sedih melihat hutan demi hutan dimusnahkan. Kelantan paling teruk sehingga mengganggu Orang Asli mencari makanan.
“Kami tak faham kenapa pemimpin tidak ada kreativiti lain untuk menjana ekonomi selain daripada pembalakan yang tidak bawa faedah tetapi lebih pada bencana yang rakyat juga akan merana.
“Jika ketua atau pemimpin sayangkan alam, perkara begini tidak akan berlaku. Sayang, hutan khazanah kita yang tercantik dan tertua. Kenapa pemimpin kita tidak mempunyai perasaan sayangkan alam,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengulas protes orang Asli dari enam perkampungan yang membina tiga sekatan jalan di Chawas, Tohoi, Kuala Wok di Gua Musang, Kelantan awal minggu lalu bagi membantah pembalakan tidak terkawal di kawasan hutan simpan.

Mereka mendakwa ada pihak menceroboh tanah adat Orang Asli, bagi aktiviti pembalakan dan perladangan komersial.
Sementara itu, aktivis alam sekitar, Amlir Ayat berkata isu pembalakan dan tanah adat Orang Asli mesti diselesaikan segera kerana ia memberi kesan buruk jangka masa panjang.
“Kalau itu tanah adat orang asli, ia tidak sepatutnya tidak diganggu meskipun itu tanah kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri perlu ada budi bicara. Kawasan hutan simpan perlu dikekalkan kerana jika tidak ia boleh membawa kepada ancaman alam sekitar.
“Kerajaan negeri patut cari penyelesaian. Kelantan mungkin ada masalah daripada segi kewangan dan pembalakan sumber yang cepat untuk dapat duit.
“Tetapi kita kena pastikan adakah ia berbaloi,” kata bekas pengarah Projek Pemuliharaan Harimau Dana Sedunia Alam Semula Jadi Malaysia (WWF-Malaysia) itu.
Sementara itu, pengkaji Orang Asli di Universiti Nottingham, Lim Teck Wyn mahu hak Orang Asli dihormati seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Orang Asal Antarabangsa (UNDRIP) yang ditandatangani oleh kerajaan sebelum ini.
“Ia perlu diguna pakai di Malaysia sebagai satu kaedah perlindungan dan penguatkuasaan hak asasi kumpulan minoriti Orang Asal di Malaysia termasuk Orang Asli di Semenanjung.” kata ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu.

Sejak dua tahun lepas, masyarakat Orang Asli Kelantan membentuk beberapa sekatan di negeri itu tetapi kemudian dirobohkan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan. Malah, ada antara mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa.
The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan penjelasan kerajaan negeri mengenai isu tersebut.
Kerajaan Kelantan pimpinan PAS sebelum beberapa kali dikecam kerana dikatakan tidak melindungi Orang Asli dan hak tanah mereka.
Dewan Rakyat tahun lalu diberitahu Malaysia kerugian kira-kira RM15.2 juta akibat aktiviti pembalakan haram di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 10 tahun antara 2006 hingga 2016.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Hamim Samuri berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 256 kes pembalakan haram direkodkan dan 229 orang ditangkap berhubung kegiatan itu.
“Pembalakan haram adalah sebarang aktiviti yang dilakukan tanpa lesen secara terancang dengan penggunaan jentera berat,” katanya di sidang Parlimen. – 20 Februari, 2018.
Komen