Malaysia rugi RM15.2 juta kerana pembalakan haram


MALAYSIA kerugian kira-kira RM15.2 juta akibat aktiviti pembalakan haram di Semenanjung Malaysia pada 2006 hingga 2016, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Hamim Samuri berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 256 kes pembalakan haram direkodkan dan 229 orang ditangkap berhubung kegiatan itu.

“Pembalakan haram adalah sebarang aktiviti yang dilakukan tanpa lesen secara terancang dengan penggunaan jentera berat,” kata menjawab soalan Senator S Bagiam Ayem Perumal yang ingin mengetahui jumlah kerugian akibat pembalakan haram hutan di negara ini.

Menjawab soalan tambahan mengenai penggunaan teknologi terkini bagi membendung aktiviti pembalakan haram seperti diramahkan di negara lain, Hamim berkata kementeriannya antara lain menggunakan dron, cerapan satelit dan “remote sensing”.

Program bagi meningkatkan keupayaan memantau kegiataan pembalakan termasuklah Operasi Rangkaian Penguatkuasaan Biodiversiti 1Malaysia (1MBEON), operasi oleh Pasukan Penguatkuasaan Berpusat (CET) dan Pasukan Elit Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, katanya. – Bernama, 15 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen