GPS akan stabilkan politik negara selepas PRU, kata PBB


Desmond Davidson

AHLI Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali lagi akan menjadi penentu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Naib Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Hamzah.

“Saya bukan angkuh tetapi selepas PRU nanti, GPS sekali lagi akan membawa kestabilan politik negara,” katanya yang juga menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak.

Abdul Karim berkata GPS akan menyapu semua 31 kerusi negeri, sekali gus sekali lagi menjadi faktor untuk stabilkan semula negara.

GPS merangkumi empat parti Sarawak iaitu PBB sebagai parti peneraju, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ketika ini ia menyokong kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional dengan 18 ahli Parlimennya. Kesemua 18 mereka antara 116 ahli Parlimen yang menyokong kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menyifatkan politik di Semenanjung berantakan dengan tidak ada parti politik yang mampu mendapat cukup kerusi untuk membentuk kerajaan dengan sendiri.

Beliau merasakan pendedahan terbaru oleh Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman hanya akan menimbulkan kekacauan dalam parti Umno dan Barisan Nasional selain memberi kesan kepada peti undi dalam PRU15.

“Hari ini begini, esok lain pula. Satu minit sokong Anwar (Presiden PKR Anwar Ibrahim), satu minit kemudian sokong Mahathir (bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad) dan kemudian anda kata anda sokong Ismail (Sabri),” katanya merujuk kepada pendedahan Tajuddin tentang sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen Umno telah menandatangani surat akuan berkanun untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendakwa antara anggota Umno yang menandatangani surat itu termasuklah Ahmad Zahid, Najib Razak dan ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz.

“Mesti ada yang tidak kena dengan (politik di Semenanjung),” kata Abdul Karim

Tambahnya ahli Parlimen GPS akan menjadi kingmaker semula berdasarkan sokongan pakatan pemerintah negeri pada pilihan raya negeri Disember lalu.

“94.6 peratus rakyat Sarawak sokong gabungan pemerintah. Itu mencerminkan solidariti yang kuat.

“Kami tahu apa yang berlaku di Semenanjung. Tidak akan ada mana-mana parti di sana yang boleh dapat majoriti yang kukuh untuk bentuk kerajaan.

“Dan ketika itulah Sarawak perlu berada di sana untuk menghulurkan tangan untuk menstabilkan (perkara). Kami telah buat dengan kerajaan sekarang.” – 29 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen