Undi18 dibuat secara tergesa-gesa, kata menteri belia Sarawak


Desmond Davidson

Menteri Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Hamzah berkata pelaksanaan Undi18 dibuat secara tergesa-gesa, memberi contoh peratusan keluar mengundi golongan muda yang rendah pada PRN Johor lepas menunjukkan yang belia tidak berminat dengan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun, 2022.

PELAKSANAAN Undi18 dibuat dengan sedikit tergesa-gesa, kata Menteri Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Hamzah.

Katanya, menurut laporan yang disaring kepadanya mendapati peratusan keluar mengundi golongan muda rendah pada pilihan raya negeri Johor lalu, menunjukkan “belia tidak berminat dengan politik.

“Mereka yang berusia 18 tahun ini mungkin tidak tahu mereka ini pengundi atau layak untuk mengundi.”

Pada Julai 2019 Perlembagaan telah dipinda bagi membolehkan individu berusia 18 tahun mengundi.

“Mereka belum melalui proses pendaftaran fizikal. Semuanya automatik,” katanya, menambah yang ini boleh berlaku jika golongan belia tidak ikuti perkembangan berita semasa.

“Sedikit tergesa-gesa. Kita sepatutnya kaji lebih banyak cara untuk tangani masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat jawatankuasa pembangunan belia Sarawak.

Selain itu, katanya, perlu ada sukatan pelajaran di sekolah untuk mendidik pelajar tentang cara pilihan raya dijalankan, peranan berbeza kerajaan negeri dan persekutuan atau fungsi kabinet.

“Kebanyakan belia kita tidak tahu tentang perkara ini. Mereka dicampak dan diminta mengundi,” katanya

Karim mencadangkan agar sukatan pelajaran ilmu sivik dikembalikan dan mula mengajar tentang pembinaan negara, politik, fungsi kerajaan dan kabinet kepada pelajar bermula dari Tingkatan 3.

Beliau berkata apa yang paling ditakutinya ialah “parti yang tidak bertanggungjawab” mengambil kesempatan atas ketidakmatangan politik pengundi muda.

“Mereka (tidak sepatutnya mengundi) kerana wang atau dorongan lain.”

Sebelum ini Adun Bandar Utama di Selangor Jamaliah Jamaludin berkata pengundi muda tidak mampu berfikiran kritikal mengenai calon yang mereka patut undi atau parti politik mana yang akan disokong.

Tambah naib ketua DAP Selangor berusia 33 tahun itu lagi,  jika parti politik merasakan yang pengundi muda ini penting, perlu ada usaha untuk mendekati dan menyediakan mereka dalam proses membuat keputusan.

Namun begitu, Karim berkata bukan semuanya begitu.

Beliau berkata kini menjadi tanggungjawab semua parti politik, Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan “untuk membimbing pengundi muda ini menjadi pengundi yang bertanggungjawab”.

Sarawak akan mempunyai lebih 600,000 pengundi baharu – Undi18 dan mereka yang berdaftar di bawah pendaftaran pemilih automatik – pada pilihan raya akan datang.

Karim berkata setiap 82 DUN Sarawak mempunyai peningkatan 30 peratus dalam jumlah pengundi baharu.

Beliau berkata kawasannya di Asajaya, yang pada pilihan raya negeri baru-baru ini mempunyai 6,380 pemilih kini meningkat kepada lebih 12,000 dengan 5,700 pengundi baharu.

“Sama ada mereka keluar dan mengundi, itu persoalan lain.” – 15 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen