Tajuddin sedia tanding Bebas jika Umno 'main kasar'


Mohd Farhan Darwis

TAJUDDIN Abdul Rahman menegaskan beliau sanggup bertanding atas tiket Bebas sekiranya Umno menghalang beliau untuk mempertahankan kawasan Parlimen Pasir Salak.

Malah beliau juga mempertimbang tawaran Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria untuk bertanding atas tiket parti Islam itu di Pasir Salak jika Umno bertindak “kasar” seperti itu ke atasnya.

“Boleh dipertimbangkan. Bukan idea yang teruk (tanding tiket PAS) tapi tak mengapa saya tak nak masuk PAS.

“Tetapi kalau mereka berkasar, saya boleh tanding Bebas umpamanya tapi menyokong Umno,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Razman membuat tawaran itu selepas Tajuddin dipecat dari jawatan Majlis Kerja Tertinggi Umno minggu lalu.

Menurut Razman, tindakan itu membayangkan Tajuddin tidak akan dicalonkan lagi untuk kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu bagaimanapun hanya akan berlaku sekiranya PAS dapat bertanding di situ dalam rundingan agihan kerusi di antara komponen Perikatan Nasional (PN), katanya.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media di Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Jun, 2022.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata beliau tetap menyokong Umno kerana peranan dan sentimen yang besar ke atas parti itu selepas bergiat lebih 50 tahun.

“Saya ahli Umno lagi, saya 50 tahun Umno takkan tak sayang, bila dah berumur ini orang rumah itu jangan kita buang, dah 50 tahun kahwin tetap sayang.

“Itulah tempat kita dulu daripada budak kampung dapat belajar, jadi macam ini, kampung Umno, kita masih mengenang jasa,” kata Tajuddin.

Tajuddin memenangi kerusi Parlimen Pasir Salak sejak 2004 dan kekal di kawasan itu selama empat penggal sehingga kini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat secara berteka-teki menyebut, pemecatan itu dilakukan kerana sikap Tajuddin yang sering mengkritik pimpinan parti.

Tajuddin seterusnya mendedahkan, beliau mengkritik usaha Zahid meraih sokongan ahli Parlimen Umno untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Tajuddin juga mahu Zahid berundur dari jawatan presiden Umno dan menumpukan kepada kes mahkamah yang dihadapinya agar tidak menjadi beban kepada parti. – 27 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen