Zahid rayu sokong Anwar jadi PM, kata Tajuddin


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Jun, 2022.

AHMAD Zahid Hamidi menggerakkan usaha meraih sokongan wakil rakyat Umno untuk menyokong Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, kata Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya presiden Umno itu malah bermasam muka apabila beliau enggan menandatangani surat akuan bersumpah bagi menyokong Anwar yang merupakan presiden PKR menjadi perdana menteri.

Beliau kemudian terpaksa menandatangani Akuan Bersumpah (SD) itu selepas Ahmad Zahid memujuknya selama empat kali bagi usaha itu yang disebutnya sebagai jajaran baharu Umno.

“Isu jajaran baru, (konon katanya) ‘no Anwar’, ‘no DAP’... Saya saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangani nak sokong Anwar jadi perdana menteri, dan surat dihantar kepada istana.

“Saya digesa, tapi saya tak nak. Akhirnya tandatangan jugalah (kerana) sampai nak bermasam muka,” katanya.

Tajuddin berkata demikian petang ini di Kuala Lumpur dalam sidang media pertamanya sejak dipecat dari jawatan Majlis Kerja Tertiggi Umno.

Tajuddin seterusnya mendedahkan, Ahmad Zahid berbohong kerana menyatakan kepada ahli Umno bahawa parti itu secara dasar tidak akan bekerjasama dengan Anwar, DAP dan PKR.

“Bila dipersoal (berkenaan) ‘no Anwar, no DAP, no PKR’... Dia berbohong kepada ahli Umno. Orang ramai yang tak tahu, kasihan.

“Ahli Umno di bawah ikut sahaja (sebab) kena hormat presidenkan… Naya,” kata Tajuddin.

Tajuddin digugurkan sebagai ahli MKT Umno minggu lepas, yang menurut Ahmad Zahid dilakukan kerana sering mengkritik pemimpin parti.

Beliau seterusnya dilantik sebagai duta besar ke Indonesia oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Jajaran baharu itu merupakan kempen yang dipromosi sebagai usaha Umno untuk membentuk kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Namun timbul dakwaan bahawa jajaran baharu itu akan melibatkan Anwar apabila tular satu rakaman audio didakwa mengandundi perbualan presiden PKR itu dengan Ahmad Zahid.

Zahid pada Julai lalu kemudian mengakui beliau individu dalam rakaman suara tersebut.

Laporan media menyebut, Ahmad Zahid mengaku demikian semasa pertemuan bersama dengan ahli-ahli Parlimen Umno di Wisma Perwira Angakatan Tentera Malaysia.
“Jajaran baharu itu betul memang dia ada buat… (Di) Hotel Tamu, di Kampung Baru, di situlah tempat proses menandatangani SD berlaku,” kata Tajuddin lagi.

Usaha itu bagaimanapun katanya gagal disebabkan tidak mendapat sokongan mencukupi bagi membolehkan Anwar dilantik sebagai perdana menteri.

Tajuddin turut mendedahkan selain dirinya, dan Ahmad Zahid, SD itu turut ditandatangani ahli Parlimen Pekan Najib Razak, dan ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Sembrong Hishamuddin Hussein dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bagaimanapun tidak menandatangani SD berkenaan, katanya. – 27 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen