PROGRAM subsidi petrol bersasar tidak boleh dilaksanakan sekarang, kerana rakyat akan membayar kos yang tinggi untuknya, kata Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).
Presidennya Khairul Annuar Abdul Aziz berkata walaupun program bersasar adalah lebih baik daripada terus membenarkan ketirisan subsidi, namun jika diperkenalkan sekarang ia akan menyebabkan kesan meluas yang akan menyaksikan harga barangan secara keseluruhannya meningkat lebih tinggi.
Perbelanjaan kerajaan untuk subsidi petrol perlu meningkat tetapi jika jumlah itu terlalu besar, harga pam masih perlu diselaraskan ke atas mengikut kadar pasaran, katanya.
“B40 akan memerlukan subsidi bersasar; semoga mereka dapat hadapi. Tetapi semuanya juga akan naik kerana petrol, jadi mereka tidak boleh melakukannya sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Putrajaya membelanjakan RM11 bilion untuk subsidi petrol tahun lepas, dan tahun ini, ia dijangka meningkat lebih daripada 170%, sehingga RM30 bilion, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed.
Khairul berkata lonjakan dalam bajet subsidi petrol daripada RM11 bilion kepada RM30 bilion atau lebih tinggi akan menjadi terlalu tinggi kepada kerajaan.
Mustapa, ketika berucap pada majlis penutup jelajah sektor Perkhidmatan Dan Peralatan Minyak & Gas (OGSE) Sarawak di Kuching, Khamis lalu berkata Bajet 2022 dibentang dengan menganggarkan purata harga minyak mentah Brent pada AS$66 setong.
Namun, perang di Ukraine dan sekatan Barat terhadap Russia membawa banyak ketidaktentuan dan turun naik dalam pasaran komoditi, katanya.

Mustapa berkata walaupun dengan kenaikan itu, subsidi bahan api akan diteruskan kerana minyak dan gas kekal sebagai pemacu penting pertumbuhan selain ia juga tonggak utama agenda pembangunan Malaysia.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat cadangan subsidi berperingkat kerana kerajaan bergelut untuk menanggung kos tersebut.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali, yang mendesak sistem subsidi petrol bersasar, berkata pemilik BMW tidak sepatutnya mendapat subsidi yang sama seperti seseorang yang memandu Kancil.
Petrol RON95 kini dihadkan pada RM2.05 seliter, RON97 diapungkan, kini pada RM4.84, dan diesel dihadkan pada RM2.15. Harga pam ditetapkan setiap minggu dan harga semasa adalah sehingga 29 Jun.
Pengusaha juga menderita
Pengusaha stesen minyak, sementara itu, perlu menanggung empat kali ganda dalam bentuk jumlah jualan yang lebih kecil, caj kadar diskaun peniaga, overdraf dan kerugian yang lebih tinggi, kata Khairul.
“Jumlah (petrol yang dijual) akan turun kerana suka atau tidak, orang akan mengurangkan pembelian mereka, mereka tidak boleh tiba-tiba membayar dua kali ganda harga petrol,” katanya.
Khairul berkata, kadar diskaun peniaga sebanyak 1% terpakai kepada pemilik kad kredit yang diserap pengusaha stesen minyak juga kini perlu diselaraskan, bermaksud ia akan memakan keuntungan mereka.
“Sebelum ini 1% adalah berdasarkan RM2.05, kini ia akan menjadi dua kali ganda harga itu. 1% itu memakan 2 hingga 3 sen daripada margin pengusaha.”
Pengusaha stesen minyak hanya untung 15 sen seliter petrol dan 10 sen bagi diesel, katanya.
“Kami juga perlu membeli bahan api pada harga lebih daripada dua kali ganda. Kemudahan pembiayaan kami kini akan meningkat secara eksponen, overdraf akan lebih daripada dua kali ganda.
“Ini bermakna ramai pengusaha tidak akan dapat menjual minyak lagi. Jumlah jualan sederhana hingga rendah stesen minyak akan berdepan kesukaran untuk bertahan.” – 26 Jun, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen