Subsidi bahan api akan naik kepada RM30 bilion tahun ini, kata Mustapa Mohamed


Desmond Davidson

Menteri ekonomi Mustapa Mohamed berkata kenaikan perbelanjaan subsidi minyak mencecah RM30 bilion tahun ini, 170 peratus lebih tinggi berbanding RM11 bilion dibelanjakan tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2022.

KERAJAAN mungkin akan membelanjakan subsidi minyak sehingga RM30 bilion tahun ini susulan kenaikan mendadak harga bahan api, kata Mustapa Mohamed hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu berkata ia akan jadi 170 peratus lebih tinggi berbanding RM11 bilion yang dibelanjakan tahun lepas.

Mustapa berkata Bajet 2022 dibentang dengan menganggarkan purata harga minyak mentah Brent pada AS$66 setong.

Namun, perang di Ukraine dan sekatan Barat terhadap Rusia telah membawa banyak ketidaktentuan dan turun naik dalam pasaran komoditi, katanya.

“Harga minyak mentah Brent setakat ini berada pada sekitar AS$106 setong – beza AS$40,” katanya pada majlis penutup jelajah sektor Perkhidmatan Dan Peralatan Minyak & Gas (OGSE) Sarawak di Kuching petang tadi.

Mustapa berkata walaupun dengan kenaikan itu, subsidi bahan api akan diteruskan kerana minyak dan gas kekal sebagai pemacu penting pertumbuhan selain ia juga tonggak utama agenda pembangunan Malaysia.

Sambil menyifatkan situasi geopolitik di Eropah timur sebagai “cabaran yang lebih ketara” berbanding Arab Spring pada awal 2010, kejatuhan harga minyak pada 2014 dan pandemik Covid-19, lonjakan harga minyak turut menekankan pentingnya keselamatan tenaga dan sara diri, tambahnya.

“Harga tenaga - paling ketara minyak - telah melonjak ke paras tiga angka, memberikan tekanan ke seluruh dunia. Sebagai salah satu pengeluar dan pengeksport terbesar Asia Pasifik, kita juga sedikit sebanyak terkesan dengan cabaran ini.” – 23 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen