TERDAPAT 20 lagi saksi yang tinggal sebelum pihak pendakwaan menutup perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan kepada mahkamah.
Perbicaraan 1MDB diketuai oleh Hakim Colin Lawrence Sequerah.
Dalam perbicaraan ini, bekas perdana menteri Najib Razak didakwa menyeleweng RM2.28 bilion dana 1MDB antara 2011 dan 2013.
Beliau menghadapi 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
“Yang Arif, kami telah panggil 15 saksi pada bulan Jun sahaja, dan kami ada 20 saksi sebelum kami tutup kes pendakwaan,” kata Thevaharan kepada hakim.
Sejak permulaan perbicaraan pada Ogos 2019, 33 saksi telah dipanggil memberi keterangan.
Sebaik peringkat pendakwaan kes selesai, hakim akan mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak untuk memutuskan sama ada terdapat kes prima facie terhadap Najib.
Jika diarah membela diri, Najib ada tiga pilihan.
Ahli Parlimen Pekan itu boleh memilih untuk berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan, memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pihak pendakwaan atau, beliau boleh memberi keterangan secara bersumpah, membenarkan pihak pendakwaan menyoal balasnya.
Sebelum ini, Najib didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan jenayah menerima dana RM42 juta daripada SRC International, menjadikan beliau bekas perdana menteri pertama yang didakwa dan disabitkan kesalahan di Malaysia.
Beliau disabitkan dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mengetuai perbicaraan kes SRC menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.
Keputusan Nazlan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan kes itu kini belum selesai di Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan mendengar rayuan itu pada Ogos. – 23 Jun, 2022.
Komen