Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah atas tujuh tuduhan CBT, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Julai, 2020.

BEKAS perdana menteri Najib Razak hari ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta daripada SRC International pada 2014 dan 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas hampir dua jam membacakan penghakimannya.

Hakim juga membenarkan penangguhan hukuman dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. Beliau turut mengarahkan jumlah ikat jamin ditambah RM1 juta dengan dua penjamin. Najib diberi tempoh sehingga esok bayar wang jaminan.

Selain itu, Nazlan mengarahkan Najib melaporkan diri di balai polis berhampiran pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan.

Terdahulu, bekas menteri kewangan itu didapati bersalah atau semua tujuh pertuduhan - tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Najib, 67, turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tuduhan jenayah pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram. Semua hukuman penjara berjalan serentak. Tiada denda bagi tuduhan pengubahan wang haram.

Nazlan memutuskan bahawa hukuman itu akan dijalankan secara serentak.

Hakim itu berkata beliau telah mempertimbangkan semua faktor pengurangan, termasuk kepentingan umum dan kepentingan tertuduh.

Persidangan hari ini berlangsung selama 10 jam.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nazlan membenarkan Najib berucap dari kandang tertuduh.

Najib menyebut mengenai pertumbuhan ekonomi negara yang pesat sepanjang beliau jadi perdana menteri.

Kita menyaksikan pasaran saham melonjak untuk satu jangka masa yang panjang dalam sejarah negara dengan 1,900 mata di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

“Sepanjang tempoh tersebut saya memastikan pembangunan pembangunan infrastruktur berskala besar dalam negara termasuk pengangkutan awam dan perumahan. 

“Saya juga memastikan setiap kumpulan komuniti mendapat manfaat, misalnya petani, peniaga kecil dan penjawat awam telah mendapat manfaat daripada program berskala besar untuk meningkatkan pendapatan mereka,” kata Najib.

Najib juga berkata beliau telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi tidak diberi penghargaan sepatutnya. .

Ahli Parlimen Pekan itu seterusnya melafaz sumpah laknat bahawa beliau tidak tahu menahu RM42 juta masuk ke akaunnya.

“Saya tidak minta wang RM42 juta itu, saya tidak merancang untuk mendapatkan wang RM42 juta itu dan wang RM42 juta itu juga tidak ditawarkan kepada saya. Wallahu, Wabillahi, Watallahi.” – 28 Julai, 2020.   – 28 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen