Subsidi minyak masak kampit 1kg kekal, kata PM


Elill Easwaran

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan subsidi minyak masak kampit 1kg akan dikekalkan manakala subsidi minyak masak botol akan dihentikan. – Gambar Pejabat Perdana Menteri 22 Jun, 2022.

KERAJAAN akan mengekalkan subsidi minyak masak kampit 1kg dan menghentikan subsidi minyak masak botol berkuat kuasa 30 Jun, jelas perdana menteri hari ini.

Ismail Sabri Yaakob berkata ada kekeliruan tentang pembatalan subsidi minyak masak botol diumumkan Putrajaya semalam.

“Kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi minyak masak berbotol (1kg, 2kg, 3kg dan 5kg) kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik.

“Subsidi minyak masak kampit sahaja yang akan diteruskan,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Ismail Sabri berkata program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol ini diperkenalkan semasa pandemik.

Tambahnya program subsidi minyak botol telah menelan belanja kerajaan sebanyak RM55 juta sebulan.

“Walaubagaimanapun, kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan,” katanya.

Semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata mulai 1 Julai kerajaan akan hentikan subsidi minyak masak sawit.

Pengumuman menteri itu meliputi minyak masak sawit tulen dalam botol 2kg, 3kg dan 5kg, yang ketika ini masing-masing dihadkan pada harga RM12.70, RM18.70 dan RM29.70.

Awal hari ini Pakatan Harapan (PH) memberi tempoh 24 jam kepada kerajaan supaya mengumumkan langkah untuk menangani kos sara hidup rakyat yang akan terus meningkat selepas ia menghapuskan subsidi dan harga siling barangan makanan utama mulai 1 Julai ini.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan memberi amaran ia sedia menggerakkan rakyat dan badan masyarakat untuk menyuarakan kemarahan mereka atas apa yang disifatkannya sebagai kegagalan kerajaan.

“Pakatan Harapan juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat,” kata kenyataan yang ditandatangani bersama oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamd Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Upko Madius Tangau. – 22 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen