Tangani kos sara hidup atau hadapi kemarahan rakyat, kata Pakatan kepada Putrajaya


Firma penyelidik ekonomi MIDF Research menjangkakan inflasi akan meningkat lebih tinggi susulan peningkatan kenaikan harga makanan tidak lama lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2022.

PAKATAN Harapan mahu Putrajaya mengumumkan dalam masa 24 jam langkah untuk menangani kos sara hidup rakyat yang akan terus meningkat selepas ia menghapuskan subsidi dan harga siling barangan makanan utama mulai 1 Julai ini.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan memberi amaran ia sedia menggerakkan rakyat dan badan masyarakat untuk menyuarakan kemarahan mereka atas apa yang disifatkannya sebagai kegagalan kerajaan.

“Kerajaan mesti mengumumkan sepenuhnya pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup ini dalam masa 24 jam.

“Sekiranya gagal, menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam isu kos sara hidup juga wajib meletakkan jawatan.

“Pakatan Harapan juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat,” kata Majlis Presiden PH dalam kenyataannya.

Kenyataan dikeluarkan bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, dan Presiden UPKO Madius Tangau. 

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan tidak akan meneruskan harga kawalan siling bagi ayam dan ayam telur serta subsidi minyak masak tulen dalam botol mulai 1 Julai ini.

Ini akan menyebabkan harga barangan berkenaan dijangka meningkat dan ditentukan oleh pasaran, katanya.

Jelas Alexander, harga siling dan subsidi itu dimansuhkan untuk menstabilkan bekalan dan harganya di pasaran bagi tempoh jangka panjang.

Menurut Majlis Presiden PH, keputusan kerajaan itu akan menambah parah kehidupan rakyat yang sedia terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kelewatan kerajaan mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar ketika hanya kurang seminggu hapusnya harga siling ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak botol juga menyusahkan rakyat, kata mereka.

“Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat berkali ganda,” kata pemimpin parti komponen PH.

Majlis Presiden PH menyifatkan tindakan kerajaan itu tidak proaktif dan tidak bertanggungjawab.

“Ketua Pembangkang pernah menegur berkali-kali di Parlimen tentang kelewatan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat serta mengambil tindakan tahun lalu.

“Malangnya, rakyat terus menyaksikan betapa lembabnya tindakan para Menteri dalam menangani masalah kos sara hidup,” kata mereka.

Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjangkakan harga sekilogram ayam boleh mencecah lebih RM10 selepas 1 Julai ini.

Firma penyelidik ekonomi MIDF Research menjangkakan inflasi akan meningkat lebih tinggi susulan peningkatan kenaikan harga makanan tidak lama lagi. – 22 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen