Sundra Rajoo tak kebal apabila didakwa, mahkamah diberitahu


Mahkamah diberitahu bekas pengarah AIAC Sundra Rajoo tidak kebal daripada pendakwaan kerana imuniti milik pusat timbang tara, dan bukannya milik peribadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2021.

BEKAS pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) N. Sundra Rajoo hilang kekebalan daripada pendakwaan apabila didakwa atas tuduhan pecah amanah jenayah pada Mac 2019, mahkamah diberitahu.

Alasannya: penggantinya di pusat timbang tara telah mengetepikan semua keistimewaan dan kekebalan Sundra Rajoo yang dinikmatinya apabila mengetahui kerajaan membawa pertuduhan berkaitan dakwaan penipuan dana AIAC.

Penegasan ini dikemukakan oleh peguam kerajaan yang bertindak bagi bekas Peguam Negara Tommy Thomas, beberapa pegawai dari Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Kerajaan Malaysia semasa perbicaraan pada Isnin untuk membatalkan saman sivil terhadap mereka yang dibuat Sundra Rajoo kerana penahanan salah dan pendakwaan berniat jahat.

Dalam tuntutannya terhadap Thomas, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shukri Abdul dan beberapa yang lain dinamakan dalam notis, Sundra Rajoo berkata sebagai pengarah AIAC, beliau diberikan imuniti penuh daripada didakwa.

Katanya, beliau ditahan pegawai SPRM pada 11 November, 2018 dan memaklumkan kepada pegawai terbabit beliau ada imuniti daripada ditangkap dan ditahan sebagai pegawai kanan AIAC.

Dalam hujahan permohonan untuk pembatalan tersebut, peguam Sundra berkata kekebalannya daripada pendakwaan jenayah kekal walaupun selepas beliau sudah tidak berkhidmat sebagai pengarah.

Sundra juga menyatakan Thomas sedar tentang kekebalannya daripada pendakwaan dan tahu percubaan kerajaan untuk mendapatkan badan induk AIAC menarik balik perlindungan yang diberikan kepadanya. Namun, bekas peguam negara itu masih berusaha untuk mendakwa Sundra.

Dalam prosiding berasingan pada Disember 2019, Mahkamah Tinggi memutuskan Sundra mempunyai kekebalan daripada prosiding jenayah. Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Tetapi dalam tindakannya untuk membatalkan saman sivil pada Isnin, bekas peguam negara dan 11 defendan lain kelihatan telah mengambil satu lagi langkah terhadap imuniti Sundra.

Menggunakan Seksyen 8A Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992 (Akta 485), mereka berhujah kekebalan adalah milik AIAC, bukan milik Sundra Rajoo secara peribadi.

Oleh itu, pusat itu berhak untuk mengetepikan imuniti dan inilah yang berlaku apabila Vinayak Pradhan, pemangku pengarah AIAC ketika itu, menulis kepada Thomas pada 22 Februari 2019

“Saya ambil perhatian daripada surat anda pada 14 Februari bahawa keadaan telah berubah. Anda kini telah menyediakan pertuduhan terhadap Sundra Rajoo atas penipuan penyelewengan dana AIAC semasa beliau menjadi pengarah AIAC dengan lebih banyak pertuduhan yang mungkin akan berlaku… Saya mempunyai kewajipan berkanun untuk mengetepikan imuniti dan keistimewaan di mana hak dan keistimewaan akan menghalang perjalanan keadilan… Oleh itu, saya dengan ini mengetepikan imuniti dan keistimewaan Sundra Rajoo,” tulis Vinayak dalam surat, menekankan keistimewaan dan kekebalan diberikan demi kepentingan organisasi antarabangsa dan bukan untuk kepentingan peribadi individu.

Defendan mendakwa surat tersebut menunjukkan imuniti Sundra telah ditarik balik apabila beliau ditahan dan didakwa dengan tiga pertuduhan CBT. Oleh yang demikian, mereka tidak bertindak dengan niat jahat atau berniat jahat terhadap plaintif.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili defendan dalam perbicaraan hari ini manakala Malek Imtiaz mewakili Sundra.

Hakim Ahmad Bache mengekalkan penghakiman dan akan menyampaikan keputusannya mengenai permohonan pembatalan pada 21 Julai. – 20 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen