PEGUAM terkemuka Vinayak Pradhan dipilih sebagai pemangku pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), menggantikan Prof Dr Sundra Rajoo yang meletak jawatan pada hari ini, umum Peguam Negara Tommy Thomas hari ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, Thomas menyifatkan Pradhan sebagai “orang yang terkenal” dalam bidang timbang tara di Malaysia dan “diakui keupayaannya, pengalaman dan kepimpinannya dalam bidang timbangtara.”
“Saya gembira mengumumkan Encik Vinayak Pradhan sebagai pemangku pengarah AIAC yang berkuat kuasa serta merta berikutan peletakan jawatan Professor Sundra Rajoo, dan saya ingin merakam terima kasih di atas pimpinannya di AIAC selama 9 tahun,” kata Thomas.
“Mengenali Pradhan secara peribadi selama beberapa tahun, saya jamin integriti beliau, yang akan meningkatkan kedudukan AIAC baik secara domestik dan di peringkat antarabangsa. Saya yakin beliau akan memimpin AIAC ke tahap yang lebih tinggi,” tambah Thomas.
Thomas berkata pelantikan itu mendapat sokongan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Perundangan Undang-undang Asia Afrika (AALCO) Prof. Dr. Kennedy Gastorn. AALCO merupakan organisasi induk AIAC.
Sundra mengemukakan peletakan jawatannya pagi ini selepas beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia malam tadi atas dakwaan rasuah. Peguamnya Phillip Koh berkata bahawa Sundra meletak jawatan kerana beliau mahu melindungi nama baik AIAC itu.
Pradhan adalah bekas Presiden Institut Penimbang Tara Bertauliah, United Kingdom, yang dikatakan Thomas memiliki “pengiktirafan antarabangsa”. Pradhan juga pernah dianugerahkan dengan anugerah “Penimbang Tara Malaysia pada tahun 2016”
Thomas turut memetik Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon, yang menggambarkan Pradhan sebagai “penimbang tara yang luar biasa”, “salah seorang penguam terbaik di rantau ini” dan sebagai “antara penimbangtara terbaik” yang pernah Sundaresh jumpa sebelum ini.
Pradhan dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Pampasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di samping merupakan Ahli Tetap Mahkamah Penimbangtara di Den Haag dan seorang ahli Mahkamah Timbang Tara Sukan, Lausanne.
Beliau juga dilantik sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa mengenai Timbang Tara, dan merupakan felo Akademi Peguam Pembinaan Antarabangsa dan ahli lembaga penasihat AIAC.
Pradhan menjadi peguam pada tahun 1974, setelah mendapat ijazah undang-undang dari University Singapura. – 21 November, 2018.
Komen