KENYATAAN Muhyiddin Yassin yang menafikan menerima rasuah daripada sebuah syarikat kerana berada di luar negara untuk rawatan kanser diragui bekas perdana menteri Najib Razak.
Najib menerusi Facebook menyiarkan pautan kepada laporan berita kegiatan Muhyiddin pada tarikh beliau dikatakan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti yang diberi keterangan saksi semasa perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi semalam.
“Beliau (Muhyiddin) antara Jun hingga Ogos 2018 beliau menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
“Benar?” Soal Najib.
Seorang saksi dalam perbicaraan Zahid kerana menerima sogokan berhubung sistem visa asing semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri memberi keterangan bahawa Muhyiddin menerima RM1.3 juta dalam tiga transaksi pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.
Muhyiddin merupakan menteri dalam negeri ketika itu di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Muhyiddin petang semalam menafikan keterangan saksi itu dengan menyatakan beliau sedang menjalani pembedahan kansernya ketika dakwaan pembayaran dilakukan.
Bagaimanapun Najib menerusi Facebooknya menyenaraikan artikel berita mengenai tarikh yang diberikan dalam keterangan saksi yang menunjukkan beliau sudah cukup sihat untuk membuat lawatan rasmi atau beliau masih belum menjalani pembedahan pada masa itu.
Dalam laporan berita tarikh pembedahan Muhyiddin untuk kanser pankreas dilaporkan pada 12 Julai 2018 dan dijalankan di Hospital Mounth Elizabeth di Singapura.
Dalam penafiannya Muhyiddin semalam berkata beliau tidak pernah menerima sebarang wang sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada saksi bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan atau pengarah atau pemegang saham syarikat itu.
Presiden Bersatu dan bekas perdana menteri itu juga berkata beliau tidak pernah disoal oleh pihak berkuasa berhubung perkara itu dan bersedia untuk disiasat. – 18 Jun, 2022.
Komen