Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta dari UKSB


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau bersedia untuk disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan menerima RM1.3 juta dari Ultra Kirana Sdn Bhd pada 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2022.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan pernah menerima RM1.3 juta dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara Jun dan Ogos 2018 semasa beliau menteri dalam negeri bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Dakwaan tersebut palsu kerana ketika itu beliau sedang menjalani pembedahan kanser, kata Muyiddin dalam kenyataan hari ini.

“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya. 

“Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tohmahan ini.

“Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah,” jelasnya.

Awal hari ini, Bernama melaporkan bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam syarikat itu memberi dana sebanyak RM1.3 juta kepada Muhyiddin pada 2018.

Tan, 47, berkata demikian ketika lejar UKSB dirujuk kepadanya semasa sesi pemeriksaan balas dalam perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung projek Visa Luar Negara (VLN).

Ketika ditanya peguam bela Zahid siapakah ‘TSM’ yang tercatat di dalam lejar tersebut, Tan menjawab, “Tan Sri Muhyiddin”.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata wang tersebut dibayar secara tunai kepada Muhyiddin pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.

Kenyataan saksi itu disangkal Muhyiddin, berkata pada masa itu beliau menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut. 

“Pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.

“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” tegasnya.

Ahli Parlimen Pagoh itu seterusnya sepanjang tempoh itu tugasnya sebagai menteri dalam negeri ketika itu telah diambil alih perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin juga berkata beliau bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan tersebut.

Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat yang sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Presiden Umno itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – 17 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen