MRT Corp jawab kenapa beri Najib naik dulu sebelum perasmian


Aminah Farid

Semalam, Najib RAzakdan beberapa ahli keluarganya diberi peluang menguji fasa pertama MRT laluan Putrajaya yang sepanjang 17.5 km dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu. – Gambar Facebook, 16 Jun, 2022.

NAJIB Razak diundang menguji fasa pertama Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya semalam sebelum dilancarkan secara rasmi hari ini selepas bekas perdana menteri itu meluahkan meluahkan keinginannya di Twitter, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Mohd Zarif Hashim.

Mohd Zarif menjawab kritikan orang ramai yang mempersoalkan mengapa Najib yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah diberi layanan istimewa menguji fasa pertama laluan baharu itu.

“Beliau (Najib) luahkan keinginannya di Twitter, jadi kerana’ tweet’ itulah kami balas,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu hari ini. Bagaimanapun, semakan The Malaysian Insight tidak menemui twit tersebut di laman Twitter.

Mohd Zarif juga enggan mengulas lanjut mengenai kecaman terhadap MRT Corp kerana mengundang Najib semalam.

Perdana Menteri Ismail Sabri yang hadir pada majlis pelancaran pagi tadi berkata MRT Corp berhak untuk menjemput sesiapa sahaja.

“Saya tak nak komen kenapa MRT jemput. Saya cuma melancarkan hari ini, hak MRT untuk jemput Najib,” katanya kepada pemberita.

Semalam, Najib dan beberapa ahli keluarganya diberi peluang menguji fasa pertama MRT laluan Putrajaya yang sepanjang 17.5 km dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu, sehari sebelum Ismail Sabri merasmikannya pagi tadi. – 16 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen