MASA mengubah dunia korporat di Malaysia. Pada satu ketika semua syarikat milik kerajaan akan menolak lantikan kerajaan dalam lembaga pengarah mereka tetapi kini tidak lagi.
Khazanah Nasional Berhad tidak menolak apabila Perdana Menteri Najib Razak mengesyorkan pakar medianya Habibul Rahman Kadir Shah bagi menduduki satu daripada kerusi lembaga pengarah Malaysia Airlines Berhad (MAB) bulan ini.
Mengakui dirinya “panglima perang Najib”, beliau melalui jalan lebih mudah berbanding pembantu perdana menteri lain, Omar Mustapha Ong, yang berdepan kesukaran mendapat tempat dalam lembaga pengarah syarikat minyak Petronas Berhad.
Kedua-dua episod itu mencerminkan peningkatan kekuatan Najib di luar Putrajaya dan bidang korporat di Malaysia serta agensi kerajaan lain.
Najib sebelum ini berjaya menundukkan Khazanah untuk meletakkan bekas ketua Celcom Mohammed Shazalli Ramly sebagai ketua eksekutif Telekom Malaysia yang baru pada 1 Mei, menggantikan Zamzamzairani Mohd Isa yang kini pengerusi UEM Sunrise dan juga ahli lembaga MAB.
Difahamkan lebih banyak perubahan akan berlaku memandangkan Najib kini sedang mempersiapkan Barisan Nasional (BN) bagi berdepan pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan menjelang suku ketiga 2018.
Sumber kerajaan berkata Najib mahu orang-orangnya dalam korporat Malaysia memastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai pandangan seiring dengan pentadbiran beliau dalam mentadbir negara.
Tetapi ia tidak selalunya mudah bagi Najib yang mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri pada 2009.
Ujian pertama meletakkan orangnya di dalam lembaga Petronas mendapat tentangan.
Lembaga Petronas memutuskan menangguhkan pelantikan Omar sementara menunggu penjelasan kepada perdana menteri mengenai punca di sebalik penolakan bekas penerima biasiswa syarikat itu, lapor Singapore Business Times pada Jun 2009.
Omar, pakar ekonomi lulusan Oxford, adalah seorang pembantu Najib sehingga beliau berpindah ke Ethos, sebuah firma perundingan. Lembaga Petronas menolak beliau pada Mei 2009 atas alasan memungkiri biasiswa Petronas diberikan kepadanya hampir dua dekad lalu.
“Episod ini mencetuskan perdebatan di media mengenai isu tadbir urus korporat dan dakwaan campur tangan kerajaan dalam Petronas, yang merupakan satu-satunya syarikat Malaysia tersenarai dalam Fortune 500 dan menyumbang 45% daripada hasil kerajaan pada tahun lalu,” kata akhbar perniagaan Singapura.
Akhirnya, Najib memperoleh apa diingini dan Omar mendapat tempat dalam lembaga Petronas. Bagaimanapun, ia memberi kesan kepada jawatan pemangku pengerusi dan ketua eksekutif Petronas, Hassan Marican dalam tempoh setahun.
Nasib diterima Hassan menjadi peringatan bagi mereka yang berada dalam syarikat dana negara, yang bos mereka ialah Najib.
Dan dengan mudah menempatkan pakar medianya dalam lembaga MAB, Najib menunjukkan beliau masih mengawal kerajaan di sebalik kritikan dan tuduhan yang diterima akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan aliran dana daripada SRC International. – 28 Mei, 2017.
Komen
Dimuat naik 9 tahun yang lalu oleh Amar amer · Ulasan