Bukit Aman jangan ganggu dasar hukuman mati kerajaan, kata peguam


Elill Easwaran

POLIS perlu hormat pendekatan dan pendirian kerajaan tentang hukuman mati malah jangan campur tangan dalam keputusan dasar, kata Lawyers for Liberty hari ini.

Pengarahnya Zaid Malek berkata tugas pihak penguatkuasa untuk tegakkan dan kuat kuasakan undang-undang yang digubal.

“Mereka tidak  boleh ganggu dasar dan perundangan.

“Polis perlu tumpu kepada usaha merungkai operasi tokan dadah yang menggunakan keldai dadah sehingga mereka dihukum mati. Biar kerajaan dan Parlimen yang uruskan undang-undang dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaid berkata demikian menjawab cadangan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay semalam yang mahu ketatkan lagi hukuman mati dengan mengurangkan berat syabu kepada 15 gram daripada 50 gram.

Ayob juga berkata pihak berkuasa akan meningkatkan kawalan di sempadan negara bagi membendung peningkatan penyeludupan ganja dari Thailand berikutan keputusan negara jiran membenarkan rakyatnya menanam ganja berkuat kuasa 9 Jun lalu.

Kenyataan Ayob itu muncul ketika Putrajaya bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori bagi senarai kesalahan jenayah, termasuk kesalahan berkaitan dadah.

Zaid berkata ada sesuatu yang tidak kena antara kenyataan Ayob dan pengumuman bersejarah Putrajaya minggu lalu mengenai usaha hapuskan hukuman mati mandatori.

“Inilah sebabnya mengapa badan penguatkuasa seperti polis tidak patut buat kenyataan awam tentang dasar kontroversi politik seperti penggunaan hukuman mati,” katanya.

Beliau berkata objektif kerajaan adalah jelas untuk mengurangkan dan mengehadkan pelaksanaan hukuman mati kes dadah dan kes lain.

“Sebaliknya Ayob cadang tambahkan satu lagi kategori baru kesalahan dadah yang boleh dihukum mati.”

Zaid juga berkata tidak ada asas rasional bagi cadangan memiliki 15 gram syabu harus dihukum mati.

Tambahnya rungutan Ayob tentang keputusan Thailand untuk menghalalkan penanaman ganja adalah sempit dan tersasar.

“Ia gagal ambil kira hakikat usaha halalkan ganja adalah sebahagian daripada trend global berdasarkan bukti saintifik tentang manfaat perubatan dan kesihatannya.”

Minggu lepas, Putrajaya telah mengumumkan persetujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, dengan hukuman mati digantikan dengan jenis hukuman lain mengikut budi bicara mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan dibuat selepas pembentangan laporan kajian hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori pada mesyuarat Kabinet pada 8 Jun.

Katanya, kerajaan juga secara prinsipnya menerima syor dikemukakan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.

“Kabinet bersetuju kajian lebih teliti akan dijalankan terhadap hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, iaitu satu kesalahan bagi Seksyen 29B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan membawa hukuman mati dengan dengan budi bicara mahkamah.”

Jenayah yang boleh dihukum mati di Malaysia pada masa ini termasuk pembunuhan, pengedaran dadah, keganasan, penculikan dan pemilikan senjata api.

Ketika ini terdapat 1,281 banduan yang menunggu untuk dihukum mati di 26 penjara di seluruh negara, di mana 73 peratus daripadanya disabitkan kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – 13 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen