Putrajaya mansuh hukuman mati mandatori


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Putrakaua setuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2022.

PUTRAJAYA bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian, tertakluk kepada budi bicara mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau menerusi satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat selepas pembentangan laporan kajian hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori pada mesyuarat Kabinet pada 8 Jun.

Katanya, kerajaan juga secara prinsipnya menerima syor dikemukakan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.

Jawatankuasa itu diketuai bekas ketua hakim negara Richard Malanjun dan beberapa pakar undang-undang dan jenayah yang lain.

“Kabinet bersetuju kajian lebih teliti akan dijalankan terhadap hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, iaitu satu kesalahan bagi Seksyen 29B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan membawa hukuman mati dengan dengan budi bicara mahkamah.

“Kajian akan dijalankan Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri dan kementerian berkaitan yang lain,” katanya.

Tindakan ini penting katanya, bagi memastikan pindaan kepada mana-mana akta berkaitan mengambil kira prinsip “proportionality” dan keperlembagaan.

Wan Junaidi berkata Putrajaya juga akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah, antaranya mewujudkan prosedur prapenghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, membangunkan garis panduan penghukuman, menubuhkan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan “restorative justice”.

“Keputusan ini menunjukkan kerajaan mahu memastikan hak semua pihak terpelihara dan terjamin, selain menambah baik sistem keadilan jenayah di negara ini,” katanya.

Malaysia mengumumkan moratorium bagi semua hukuman mati pada Julai 2018 seperti dipersetujui di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Menurut data Amnesty International, sebanyak 469 pelaksanaan hukuman mati dijalankan sejak 1957.

Peruntukan hukuman mandatori mengikat hakim untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati tanpa ada budi bicara bagi mengenakan hukuman lain.

Pada masa ini, 1,281 banduan sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati di 26 pusat tahanan di seluruh negara, dengan 73% daripada mereka disabitkan bagi kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – 10 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen