PUTRAJAYA tidak boleh meringankan hukuman terhadap banduan yang sedang menjalani hukuman mati kerana pindaan undang-undang masih belum dimuktamadkan, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Bagaimanapun, menteri di jabatan perdana menteri (Parlimen dan undang-undang) itu berkata nasib 1,342 banduan hukuman mati di negara ini mungkin berubah selepas tribunal untuk menyemak semula hukuman mati telah ditetapkan.
Wan Junaidi berkata moratorium hukuman mati yang dilaksanakan pada 2018 akan kekal sehingga undang-undang dimuktamadkan.
“Kerajaan tidak boleh memberikan ketetapan menyeluruh sebab beberapa banduan disabitkan dengan jenayah berat dengan bukti yang jelas,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Ahli Parlimen Santubong itu berkata peguam negara telah mencadangkan tribunal untuk membincangkan nasib 1,342 banduan hukuman mati.
Beliau berkata tribunal itu akan dianggotai oleh hakim daripada dua mahkamah tertinggi negara.
Pada Jumaat, Putrajaya telah mengumumkan persetujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, dengan hukuman mati digantikan dengan jenis hukuman lain mengikut budi bicara mahkamah.
Wan Junaidi berkata keputusan dibuat selepas pembentangan laporan kajian hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori pada mesyuarat Kabinet pada 8 Jun.
Katanya, kerajaan juga secara prinsipnya menerima syor dikemukakan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.
“Kabinet bersetuju kajian lebih teliti akan dijalankan terhadap hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, iaitu satu kesalahan bagi Seksyen 29B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan membawa hukuman mati dengan dengan budi bicara mahkamah.”
Jenayah yang boleh dihukum mati di Malaysia pada masa ini termasuk pembunuhan, pengedaran dadah, keganasan, penculikan dan pemilikan senjata api.
Pada Sabtu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata hukuman mati tidak dimansuhkan dan masih kekal namun perubahan yang dilakukan ialah memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman. – 13 Jun, 2022.
Komen