Dedah kos sebenar ganti tiang lampu, Fahmi beritahu DBKL


Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini bertanya berapa jumlah sebenar yang dibayar oleh DBKL bagi menggantikan 200 unit tiang lampu di Lembah Klang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2022.

BERAPA jumlah sebenar yang dibayar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi menggantikan 200 unit tiang lampu di Lembah Klang, tanya Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

DBKL juga perlu menjelaskan adakah benar Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menerima surat lantikan daripada Ennova Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja mengganti tiang lampu bagi pihak DBKL, katanya.

“Jadi apa yang sebenarnya berlaku? Adakah syarikat Ennova dibenarkan subcon kerja ganti tiang lampu DBKL kepada SCIB, berdasarkan syarat-syarat kontrak Ennova-DBKL?

“Berapa jumlah sebenar yang dibayar DBKL kepada Ennova untuk tukar 200 tiang lampu ini?” soal pengarah komunikasi PKR itu dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Kontroversi projek penggantian tiang lampu itu bermula selepas Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng kelmarin menuntut DBKL menjelaskan mengenai kos RM30.75 juta bagi kerja-kerja penggantian 200 unit tiang lampu, iaitu bersamaan RM153,750 bagi satu unit.

Lim turut mempersoalkan mengapa kontrak kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan operasi dianugerahkan melalui Ennova dan bukannya terus daripada DBKL atau kerajaan.

Pemberian kontrakkepada SCIB melalui Ennova didedahkan dalam laporan media baru-baru ini.

Susulan itu, DBKL semalam mengeluarkan kenyataan balas menafikan laporan yang mendakwa SCIB dilantik untuk melaksanakan apa-apa kerja bagi pihaknya.

“DBKL tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak bagi melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya untuk melaksanakan apa-apa kerja bagi pihak DBKL.

“Apa-apa nilai kontrak atau kuantiti yang dinyatakan SCIB adalah di luar pengetahuan DBKL,” katanya.

The Malaysian Insight telah menghubungi Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah untuk mendapatkan komen beliau dan masih menunggu jawapan.

Dalam kenyataannya hari ini, Fahmi berkata isu pemberian kontrak tersebut perlu diperjelaskan oleh DBKL.

“Kalau bukan Ennova yang buat kerja ni, kenapa DBKL tidak bayar terus kepada SCIB? 

“Kenapa beri kontrak kepada Ennova kalau bukan Ennova yang buat kerja?” soalnya.

Persoalan sama turut dibangkitkan persatuan penduduk di Kuala Lumpur, mendesak DBKL telus kerana projek penggantian tiang lampu itu melibatkan sejumlah besar wang pembayar cukai. – 13 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen