Putrajaya perlu dedah rancangan tentang hukuman mati, kata Azalina


KERAJAAN tidak sepatutnya bekerja sendirian dan membiarkan orang ramai terpinga-pinga dengan rancangannya untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, kata Azalina Othman Said hari ini.

Ahli Parlimen Umno itu berkata rancangan kerajaan masih tidak jelas dan tertakluk kepada banyak spekulasi kerana tiada wacana awam mengenai perkara itu.

“Sebagai penyokong kerajaan, saya telah lihat kerajaan Keluarga Malaysia sekarang menunjukkan kemahuan politik untuk memulakan usaha pembaharuan undang-undang, yang mana saya sanjungi.

“Namun, dengan wacana pemansuhan hukuman mati mandatori sekarang ini, ramai di antara kita dibiarkan dalam kegelapan, mengenai kedalaman dan keluasan potensi perubahan dalam dasar dan undang-undang di sini.

“Kami dibiarkan untuk membuat spekulasi, yang menghalang ahli Parlimen seperti saya daripada menyumbang secara konstruktif kepada perbahasan,” kata ahli Parlimen Pengerang itu.

Beliau juga mendedahkan laporan mengenai perkara itu yang disediakan oleh bekas ketua hakim negara Richard Malanjum tidak disiarkan kepada umum walaupun kerajaan berkata keputusannya berdasarkan laporan itu.

Azalina berkata kekurangan maklumat daripada kerajaan menimbulkan lebih banyak persoalan dalam kalangan ahli Parlimen dan rakyat.

“Apa yang kita ada sekarang adalah tajuk berita dan pengumuman ringkas kerajaan, yang terbuka kepada spekulasi.

“Perkataan muktamad harus terletak di tangan rakyat melalui ahli Parlimen mereka,” kata bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu.

Pada Jumaat, Putrajaya umum persetujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, dengan hukuman mati digantikan dengan jenis hukuman lain mengikut budi bicara mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan dibuat selepas pembentangan laporan kajian hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori pada mesyuarat Kabinet pada 8 Jun.

Katanya, kerajaan juga secara prinsipnya menerima syor dikemukakan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.

“Kabinet bersetuju kajian lebih teliti akan dijalankan terhadap hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, iaitu satu kesalahan bagi Seksyen 29B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan membawa hukuman mati dengan dengan budi bicara mahkamah.

“Kajian akan dijalankan Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri dan kementerian berkaitan yang lain,” katanya.

Jenayah yang boleh dihukum mati di Malaysia pada masa ini termasuk pembunuhan, pengedaran dadah, keganasan, penculikan dan pemilikan senjata api.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata hukuman mati tidak dimansuhkan dan masih kekal namun perubahan yang dilakukan ialah memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Keputusan kerajaan telah membuka persoalan tentang apa yang akan berlaku kepada kira-kira 2,000 banduan yang akan dihukum mati.

Azalina berkata sementara kerajaan memutuskan langkah seterusnya, ia boleh mengenakan moratorium berdasarkan dasar dengan menghentikan sebarang pelaksanaan hukuman sementara kajian lebih terperinci dijalankan.

Beliau berkata pelbagai undang-undang perlu dipinda kerana hukuman mati sudah termaktub dalam undang-undang sedia ada, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Angkatan Tentera.

“Banyak persoalan perlu ditangani secara berperingkat, mengambil kira bukan sahaja pandangan dan sentimen anggota Kabinet, tetapi juga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Apa yang dimaksudkan ialah kerajaan perlu bentang rang undang-undang di Parlimen, untuk pinda undang-undang. Ahli Parlimen yang mewakili pengundi, perlu dirujuk dan rang undang-undang itu dibahaskan.”

Beliau mencadangkan kerajaan mengambil iktibar daripada penggubalan Undang-undang Anti Lompat Parti di mana Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) ditubuhkan untuk meneliti semua undang-undang sedia ada yang membawa hukuman mati mandatori.

Dengan cara ini, pandangan ahli Parlimen melangkaui parti, pakar dan mangsa serta waris yang menderita akibat jenayah yang dilakukan dapat didengari.

“PSSC akan dapat percepat proses pembaharuan undang-undang dengan menyediakan platform untuk wacana undang-undang dan perbahasan melalui jawatankuasa berbilang parti yang terdiri daripada ahli Parlimen, NGO yang berkaitan dan pihak berkepentingan.

“Ini akan membantu memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem yang telus dan inklusif,” katanya. – 12 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen