Putera Charles kecam pelan hantar pencari suaka ke Rwanda


Pelan kerajaan Boris Johnson untuk menghantar pencari suaka ke Rwanda dilaporkan tidak digemari Putera Charles. – Gambar AFP, 11 Jun, 2022.

PUTERA Charles mengecam pelan kerajaan untuk menghantar pencari suaka ke Rwanda, menyifatkannya sebagai “mengejutkan”, kata laporan hari ini selepas kerajaan berjaya mendapatkan perintah kehakiman.

Kerajaan UK mahu menghantar 31 orang pencari suaka ke Rwanda pada Selasa- tidak lama sebelum Charles dijadualkan mewakili bondanya, Ratu Elizabeth II pada Sidang Komanwel di Kigali.

Perdana Menteri Boris Johnson – yang juga dijadualkan hadir sidang itu – meraikan kejayaan kerajaannya pada pendengaran mahkamah yang berlaku semalam, walaupun rayuan dijangka didengar pada Isnin ini.

“Kita tidak boleh membenarkan penyeludup manusia membahayakan nyawa mereka dan kerjasama dunia yang diterajui kita akan memecahkan model perniagaan penjenayah kejam ini,” kata Johnson di Twitter.

Charles, bagaimanapun, menyertai beberapa paderi kanan Kristian yang mengecam pelan itu, dan bimbang isu itu akan membayangi Sidang Komanwel yang akan berlangsung pada 24-25 Jun, lapor akhbar The Times.

“Baginda sangat kecewa dengan dasar itu,” lapor akhbar yang memetik kenyataan sumber yang tidak didedahkan identitinya.

“Katanya lagi, pendekatan kerajaan mengejutkan. Sangat jelas yang baginda tidak kagum dengan hala tuju kerajaan,” tambah sumber.

Jurucakap Charles enggan mengulas laporan itu, berkata “ingin ditegaskan yang beliau kekal berkecuali secara politik”.

“Urusan dasar adalah keputusan kerajaan,” tambah jurucakap itu.

Kerajaan berkata penerbangan sehala itu akan menghalang pencari suaka daripada memasuki Britain secara haram, dan menawarkan kehidupan baharu di Rwanda.

Lebih 10,000 pelarian melintas selat ganas antara Perancis dan Britain tahun ini, peningkatan berbanding tahun sebelumnya. – AFP, 11 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen