Skandal Yayasan Putera Charles, CEO ambil cuti sementara


Yayasan Putera Charles berdepan skandal selepas media mendedahkan ketua pegawai eksekutifnya mempunyai hubungan diragui dengan ahli perniagaan Arab Saudi. – Gambar AFP, 5 September, 2021.

SEORANG bekas pembantu Putera Charles mengambil cuti sementara daripada tugasnya di badan kebajikan diasaskan waris takhta British itu selepas laporan akhbar mengaitkannya dengan ahli perniagaan Arab Saudi.

Yayasan Putera Charles berkata Ketua Pegawai Eksekutifnya Michael Fawcett bersetuju menggantung tugasnya sementara siasatan dalaman dibuat terhadap dakwaan akhbar The Sunday Times and Mail pada Ahad.

Fawcett, bekas pembantu peribadi Charles dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan waris takhta itu, didakwa menyelaras usaha memberi anugerah diraja dan kewarganegaraan UK kepada Mahfouz Marei Mubarak bin Mahfouz.

Ahli perniagaan Saudi itu juga menderma banyak wang kepada projek baik pulih yang menjadi minat Putera Wales itu. Mahfouz menafikan sebarang salah laku.

Yayasan Charles yang membantu pengganggur mendapat kerja dan memulakan perniagaan mikro, berkata ia “memandang serius” dakwaan akhbar itu.

“Michael memberi sokongan sepenuhnya kepada siasatan sedang dijalankan dan akan membantu siasatan dalam segala sudut,” kata yayasan.

Fawcett adalah bekas pegawai peribadi Putera Charles yang menjaga kehidupan hariannya.

“Saya boleh hidup tanpa sesiapa kecuali Michael,” kata putera itu mengenai hubungannya dengan Fawcett sebelum ini.

Pada 2003, Fawcett dibebaskan daripada dakwaan salah laku kewangan berkaitan penjualan hadiah diraja yang mahu dilupuskan.

Beliau dilantik sebagai ketua yayasan pada 2018 selepas rombakan struktur dibuat badan kebajikan itu. – AFP, 5 September, 2021.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen