PKR pasca Anwar Ibrahim


Izmil Amri

JENUH saya menahan diri daripada memberi sebarang pendapat tentang pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bukan niat mahu menyibuk, tetapi fitrahnya pemilihan PKR itu memanglah melibatkan kita semua, walaupun kita itu bukan anggota parti.

Kenapa begitu? Ini kerana PKR menjalankan sistem satu ahli satu undi dalam menentukan siapa yang menjadi apa dalam struktur politiknya, dari atas sampai ke bawah. Maka kempennya seakan-akan melibatkan kita semua.

Memang sukar untuk kita tidak masuk campur, apatah lagi kalau kita memang kaki menyibuk.

Berbeza dengan pemilihan parti lain, seperti Umno dan DAP yang kedua-duanya menggunakan sistem perwakilan dari peringkat bahagian dan cawangan, PKR memusatkan sistem keanggotaannya di peringkat cabang.

Maka kalau satu cabang itu ada 30,000 ahli (contohnya), kesemuanya sekali layak dan berhak mengundi. Tiada wakalah untuk individu tertentu untuk pergi berjaulah ke perhimpunan agung, dilayan seperti VIP dan dipenuhi hampir segala hajatnya demi menjamin sokongan mereka.

Ini ternyata meletihkan. Bukan saja jentera pemilihan parti, malah kita yang selebihnya di luar ruang lingkup parti derita ini. Sehingga kini pun keputusan pemilihan tersebut masih belum rasmi. PKR dijangka mengumumkan barisan kepimpinan baharunya pada kongres parti yang kini sudah ditangguhkan kepada 15 Julai ini.

Setakat hari ini, masih belum selesai persoalan undi ragu yang menjadi ruang untuk calon terus cabar-mencabar dan menyerlahkan perangai masing-masing.

Pun begitu, di tengah hangat pesta demokrasi yang begitu meriah dan penuh kontroversi ini, kita sudah boleh membuat beberapa kesimpulan awal daripada keputusan-keputusan yang hampir pasti dan tidak mungkin boleh dicabar lagi.

Parti memilih perang!

Kemenangan Rafizi Ramli menewaskan Saifuddin Nasution untuk jawatan timbalan presiden adalah indikator yang sangat penting terhadap penentuan hala tuju parti reformasi ini. Dan ini harus diterima dengan hati terbuka, terutamanya dalam kalangan penyokong garis keras presiden, Anwar Ibrahim.

Terpilihnya Rafizi, ketimbang Saifuddin, adalah isyarat jelas bagasi PKR yang memperlihatkan wajahnya melalui proksi “wahyu” presiden tidak lagi menjadi pilihan anggota parti.

Secara tidak langsung, akar umbi PKR sebenarnya memilih untuk melihat lapisan pimpinan muda untuk mengambil alih parti daripada kepimpinan Anwar, yang menang tanpa bertanding.

Memilih Rafizi, secara mudahnya, bermaksud menolak Anwar. Khalas. Boleh bahas, tapi perbahasan itu tak akan selesai.

Saifuddin adalah calon pilihan Anwar. Sepertimana dahulunya Rafizi pernah disebut sebagai calon wahyu dari Anwar untuk merebut jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada pemilihan 2010. Ketika itu, Azmin Ali yang bertanding jawatan timbalan presiden melawan Zaid Ibrahim. Ada seorang lagi calon, tetapi sejarah tidak berapa ingat akan nama beliau.

Rafizi kini kembali dengan kemenangan penuh gaya, dan kemenangan itu disambut bukan saja oleh mereka yang berkempen dan mengundi beliau, malah disambut sekalian peminat beliau di luar sana, yang lama menanti wirawan ini pulang ke gelanggang setelah bercuti sekian lama, dan kehilangan demikian banyak berat badan.

Ini juga bermakna parti memilih untuk menyokong pendekatan “perang” ketimbang diplomasi dan rundingan yang menjadi bakat utama Saifuddin. Ternyata masa untuk berunding sudah selesai di mata anggota PKR, setelah demikian banyak cubaan berunding untuk memulihkan mandat PRU14; PKR ternyata memutuskan masa untuk berbincang dan berjual beli pantun sudah tamat.

Cumanya yang menjadi persoalan ialah segarang mana Rafizi akan mendepani kawan dan lawan; terutama sekali setelah sekian lama operator “orang Invoke” dalam parti menyebar luas idea supaya PKR bertanding secara solo pada PRU15.

Idea untuk terbang solo ini sudah banyak kali diajukan, dan diterjemah dengan menolak penggunaan logo Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Johor. Dalam kedua-dua keadaan, PKR terlungkup.

Pun begitu ramai masih berpendapat logo itu adalah masalah bagi gabungan PH, kerana “branding” tersebut dicemari tangan Dr Mahathir Mohamad sepanjang 22 bulan pentadbiran Kabinet pimpinan beliau.

Pendekatan “perang” Rafizi ternyata merunsingkan beberapa pihak. Terutama barangkali DAP, yang mungkin menyaksikan kerusinya turut dilanggar PKR yang mempunyai keyakinan penuh rakyat kini menyokongnya untuk pergi solo dan membentuk kerajaan. Apatah lagi parti Muda, mungkin lebih runsing lagi. Siapa yang akan mahu memberinya kerusi? PKR? Harapan lah.

Angkatan Muda Adam Adli

Menyebut tentang yang muda, penting juga untuk kita melihat kemenangan Adam Adli sebagai ketua AMK yang baharu. Kemenangan beliau menyekat kemaraan Fahmi Zainol, yang difahami ramai sebagai calon ketua AMK dalam “chai” Rafizi.

Adam muncul mengisi vakum kepimpinan anak muda PKR yang selama ini tidak begitu menonjol. Bukan sahaja tidak menonjol, malah sebenarnya bermasalah. Kita hampir tidak kenal siapa sebenarnya ketua AMK sebelum ini, apatah lagi ketika jawatan timbalannya disandang Dr Afif Bahardin yang meninggalkan parti pasca Langkah Sheraton.

AMK ketika itu terbelah dua, dengan Dr Afif menubuhkan pejajabatnya sendiri dengan program sendiri dan jenama sendiri yang langsung terpisah daripada gerak kerja AMK pusat. Sudahnya keseluruhan jentera AMK yang dikawal Afif ikut bersama beliau dan teman-teman “kartel” meninggalkan PKR dan kini sedang rancak berkuntau di Bersatu pula.

Justeru kehadiran Adam, seorang aktivis mahasiswa yang sarat jiwa dan semangat melawan, disertai rakam jejak yang begitu mengkagumkan, diharap dapat mempersiap angkatan muda untuk bergerak menuju PRU15.

Tetapi itulah. Adam bukan “chai” Rafizi. Adam malah tidak memperlihatkan sangat dia duduk di “chai” siapa. Dan, kalau kita bertanya kepadanya, Adam akan mengatakan dia memang tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana “chai”.

Barangkali kerana sudah begitu lama menjadi operator politik di sebalik tabir dan tidak ikut bergulat dalam politik struktur meski kelihatan bersama pemimpin besar, Adam lebih tenang dan matang dalam menanggapi serta menangani keadaan.

Bukanlah kerana beliau itu mantan rakan serumah maka saya memujinya. Tetapi kerana Adam tidak ada pilihan lain selain menjadi seorang pemimpin anak muda yang membawa mesej perpaduan, setiakawan dan memainkan peranan seorang yang berakal waras di tengah-tengah gerombolan yang panas kepala.

Sebelum pergi lebih jauh, “chai” itu ertinya senarai atau perkumpulan yang diletakkan dalam sebuah menu, supaya para anggota mudah mengundi. Tengok menu saja, kemudian undi mengikut menu terbabit. Namun konsep tersebut tentulah jauh lebih meluas daripada sekadar senarai nama di atas sekeping kertas.

Mantan kartel

Sebut tentang “chai”, sukar bagi kita untuk tidak membincangkan tentang gerombolan yang berdepan kesukaran dalam pemilihan kali ini akibat daripada tempias “chai” mereka yang sebelum ini disebut sebagai “Kartel Azmin”.

Ketika Langkah Sheraton berlangsung, Kartel Azmin hampir keseluruhannya bingkas meninggalkan PKR. Kecuali beberapa kerat yang tidak boleh berangkat pergi, atas beberapa faktor. Salah satunya Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Ketika itu, kalau Amirudin ikut meninggalkan PKR, maka tumbanglah kerajaan negeri Selangor.

Amirudin kekal menjadi tunjang kestabilan kerajaan negeri, dan seterusnya menyatakan kesetiaan kepada parti. Justeru beliau menang di cabang Gombak, meski dicabar orang yang begitu hampir dengan Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Amirudin juga menang dalam pertembungan naib presiden, meski beliau itu dilihat sebagai “bekas kartel” dan berkempen di samping Saifuddin.

Selain Amirudin, setiausaha politiknya juga menang jawatan timbalan ketua Wanita. Juwairiya Zulkifli, Adun Bukit Melawati; dahulunya sentiasa dilihat dalam kawanan Srikandi Keadilan yang dipenuhi anak buah Zuraida Kamaruddin.

Tian Chua pula sebaliknya, tewas di cabang Batu. Meski beliau itu figura besar dalam sejarah panjang PKR, sampai duduk di depan trak FRU, diheret, dipukul ketika awal zaman gerakan Reformasi, Tian Chua akhirnya tewas kepada Prabakaran. Lupa habis anggota PKR terhadap legasi Tian Chua, hanya kerana (mungkin) tempias “kartel” terhadap rakam jejak politiknya beberapa tahun terakhir ini.

Maka persoalan ke hadapan, apa langkah seterusnya bagi mantan “kartel” ini setelah Rafizi menjalankan operasi peperangannya secara “full force”?

Sebelum ini pun kita melihat bagaimana mantan “kartel” cuba dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti, dan kemudian sama ada dibuang atau digantung keahlian mereka. Apakah pasukan Invoke akan terus merajalela dan memutihkan PKR daripada sisa-sisa kartel yang ada? Kita hanya boleh main teka.

“Kenapa kita perlu peduli dengan pemilihan dan kepimpinan PKR?” tanya anda, setelah membaca bebelan ini.

Pendeknya kerana PKR masih lagi setakat ini mengetuai upaya blok pembangkang untuk meyakinkan masyarakat supaya terus menolak kakistokrasi Umno, sepertimana kita berjaya menumbangkan mereka pada PRU14.

Pendekatan PKR, pada kedudukan bucu anak panah PH, adalah penentu bagaimana rakyat melayani blok pembangkang di saat PRU15 semakin hampir. Apatah lagi ketika PKR sedang menyaksikan tempoh transisi antara Rafizi dan Anwar.

Hal ini tambah meresahkan kerana jika kita menilai prestasi PKR dan PH dalam pilihan raya kecil dan negeri yang berlangsung, hampir pasti harapan hanya tinggal harapan. Dasar permasalahannya ialah tiada lain, tiadanya kepimpinan.

Kecualilah kalau ada pemimpin yang dapat mengenepikan emosi, dendam dan rasa benci, untuk menyatukan semua orang pada satu satah yang sama dan mengingatkan negara terhadap dosa Umno, BN, PPBM serta para pengkhianat lainnya.

Kalau Rafizi boleh menjadi pemimpin itu, elok sangatlah. Kalau sebaliknya, semakin melingkuplah kita. – 10 Jun, 2022.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen