PEMIMPIN DAP Sabah dan Warisan meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama, mengetepikan perbezaan politik serta menyambut persamaan antara mereka.
Pemimpin Warisan Shafie Apdal berterus-terang yang Warisan akan menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan Persekutuan dan Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong menyifatkan Shafie sebagai “bakal ketua menteri.”
“Tahun ini akan jadi tahun yang baik untuk kita. Tahun 2018 ini kita akan menyedari yang perpaduan yang baik datangnya daripada pelbagai kaum..hormat dan beri perhatian kepada bagaimana kita boleh berkongsi negara ini. Negara ini bukan milik Melayu sahaja. Tetapi juga orang Cina, India, Dusun, Iban dan Kadazan.
“Tetapi apa yang lebih penting adalah untuk kita berdua (DAP dan Warisan) untuk bekerjasama. Supaya kita boleh ketepikan perbezaan politik untuk matlamat yang lebih besar.
“Ini juga petunjuk untuk Umno dan Barisan Nasional yang masa mereka sebagai kerajaan sudah hampir tamat,” kata Shafie Apdal di Sandakan hari ini.
Beliau berkata demikian pada rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Wong yang juga ahli Parlimen Sandakan. – 18 Februari, 2018.
Komen