RUU anti lompat parti sedia dibentang pada minggu pertama Julai, kata menteri 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata PSC telah memuktamadkan draf rang undang-undang untuk dibentang dan dibahaskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2022.

DEWAN Rakyat akan mengadakan sidang khas pada minggu pertama Julai bagi membentangkan rang undang-undang anti lompat parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sidang khas itu dipanggil oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang merangka rang undang-undang berkenaan.

Wan Junaidi berkata PSC telah memuktamadkan draf rang undang-undang untuk dibentang dan dibahaskan.

“Lima persoalan dasar telah dibangkitkan Jemaah Menteri dan telah diulas dan dijawab oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam mesyuarat semalam (7 Jun, 2022).

“Maklum balas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan perkara ini akan dibawa semula sebagai suatu Nota Jemaah Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rang undang-undang untuk menghalang lompat parti oleh wakil rakyat merupakan salah satu isi kandungan memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan dan kerajaan semasa Umno Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri Ogos lalu.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan bahawa antara cadangan dalam rang undang-undang itu ialah ahli Parlimen dan Adun yang partinya meninggalkan gabungan itu, juga perlu mengosongkan kerusi mereka. – 8 Jun, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen