Anwar gesa menteri pertahanan segera tangani tuntutan veteran tentera


Veteran ATM mendesak agar anggota tentera diberi hak sama seperti penjawat awam lain, yang menerima pencen selepas berkhidmat selama 10 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2022.

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa menteri pertahanan agar bertindak segera berhubung nasib veteran tentera, yang mahukan skim pencen lebih baik.

“Saya ikuti perkembangan perhimpunan aman oleh para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tugu Negara hari ini.

“Ternyata mereka ini tiada pilihan lain untuk menegakkan hak mereka dan beberapa perkara lain selepas gagal mendapat tumpuan Kementerian Pertahanan.

“Isu ini juga sudah beberapa kali saya dan rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) bawa di Parlimen dan hari ini sekali lagi saya mendesak menteri pertahanan untuk segera ambil tindakan terkait perkara ini.

“Usah abaikan suara golongan Veteran ATM yang telah banyak berjasa kepada negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang dimuat naik oleh ahli Parlimen Port Dickson itu di Facebook.

Kira-kira 1,500 bekas anggota angkatan tentera dan pesara mengadakan demonstrasi secara aman di Tugu Negara di ibu negara pagi ini.

Kumpulan itu antara lain menuntut skim pencen untuk veteran yang bersara awal.

Pada masa ini, anggota tentera mesti berkhidmat selama 21 tahun untuk layak mendapat pencen. Mereka yang bersara awal dikecualikan daripada faedah ini.

Kumpulan itu berkata anggota tentera mesti diberi hak yang sama seperti penjawat awam lain, yang menerima pencen selepas berkhidmat selama 10 tahun.

Ia juga mahu pesara tentera yang diberhentikan kerana masalah disiplin diampunkan.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein bulan lepas berkata veteran ATM tidak akan diketepikan.

“Veteran ATM diberi keutamaan dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan.”

Beliau berkata tidak mempunyai masalah untuk melibatkan diri atau bertemu mereka yang benar-benar ikhlas dalam melindungi kepentingan kumpulan itu. – 6 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen