Kes keganasan rumah tangga menurun, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat berkata, kementerian itu melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Skuad Wanita Anti Jenayah. – Gambar Facebook, 5 Jun, 2022.

BILANGAN kes keganasan rumah tangga di seluruh negara turun kepada 576 kes bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 627 kes dalam tempoh sama tahun lalu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam tempoh sama juga kes keganasan rumah tangga di Sabah menunjukkan peningkatan kepada 145 kes tahun ini berbanding 126 kes tahun lalu.

Katanya, walaupun statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan di Sabah, beliau yakin kerjasama padu semua pihak dapat menangani kes itu selain pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh kementerian seperti Skuad Wanita Anti Jenayah (Skuad Waja).

“Sehingga kini Skuad Waja dianggotai seramai 304,982 orang dan daripada jumlah itu 21,387 di Sabah termasuk 9,159 ahli Skuad Waja lelaki,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program semarak Skuad Waja negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Siti Zailah berkata, bagi memastikan keberkesanan program pemerkasaan Skuad Waja, sebanyak RM175,000 diperuntukkan kepada 25 daerah di Sabah untuk menjalankan aktiviti psikososial.

Katanya, pelaksanaan program Skuad Waja membuktikan kewujudan sinergi yang baik antara kerajaan dan komuniti dalam menangani isu keganasan terhadap wanita.

“Dengan pembabitan secara aktif dan penganjuran program yang pelbagai, saya percaya dan yakin Skuad Waja Sabah akan bergerak dengan cemerlang dan dapat mengesan serta membantu lebih ramai golongan wanita dan kumpulan rentan lain dalam komuniti,” katanya. – Bernama, 5 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen