SIS kecam nasihat Siti Zailah sebagai bahaya dan mengelirukan


Tangkapan skrin laman Facebook Siti Zailah di mana video berdurasi 2 minit itu disiarkan. – Tangkapan skrin, 14 Februari 2022.

ADALAH menyedihkan bagi seorang timbalan menteri PAS untuk mengeluarkan video berdurasi dua minit yang menasihati suami “menyentuh” isteri mereka secara fizikal dengan cara “lembut tetapi tegas” untuk mendisiplinkan mereka, kata Sisters in Islam (SIS).

Kumpulan kebajikan wanita Islam itu berkata adalah tidak boleh diterima dan menyedihkan bagi Siti Zailah Mohd Yusoff yang merupakan timbalan menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memperjuangkan wanita sebagai makhluk yang lebih rendah yang patut ditegur dan diperbetulkan kelakuannya.

Kumpulan itu seterusnya mengecam menteri itu dan berkata video Siti hanya memaparkan ketidaktahuannya tentang realiti wanita dan cara menangani isu wanita dan kanak-kanak terutama keganasan rumah tangga. 

“Dia seolah-olah buta dan tidak menerima realiti wanita. Retorik tentang suami dibenarkan mendisiplinkan isteri mereka disampaikan tanpa renungan dan kaitan yang mendalam dengan realiti yang dihadapi wanita.

“Bagaimana dia boleh alpa dengan peningkatan jumlah kes keganasan rumah tangga semasa tempoh wabak ini?,” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut menteri itu sebanyak 9,015 kes keganasan rumah tangga direkodkan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) juga melaporkan jumlah pertanyaan yang tinggi melalui SMS/WhatsApp (3,512) dan panggilan telefon (3,599) pada 2021.

“Adakah timbalan menteri tidak bimbang dengan jumlah yang tinggi ini? Apakah tindakan yang beliau ambil untuk menangani perkara ini dan mengapa video ini dibenarkan keluar terlebih dahulu?,” soalnya.

SIS berkata video oleh Siti Zailah yang menyebut suami dibenarkan memukul isteri mereka dengan sentuhan fizikal yang lembut lagi tegas adalah “berbahaya dan mengelirukan” kerana tidak ada isilah suami memukul isteri dengan lembut.

“Keganasan adalah keganasan dan tidak ada justifikasi bagaimana seorang suami harus ‘mendidik’ atau ‘menegur’ isteri.

“Tambahan pula naratif seorang suami dibenarkan mendidik isteri dengan memukulnya secara lembut boleh dikatakan membuka pintu kepada keganasan lebih-lebih lagi belum ada seorang isteri yang mengadu dia hanya dipukul lembut oleh suaminya,” katanya.

SIS berkata dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini kumpulan wanita menyokong untuk menamatkan keganasan rumah tangga, naratif bahawa seorang suami dibenarkan memukul isterinya dengan lembut tidak lagi diterima atau ditoleransi malah di kebanyakan negara majoriti Islam.

Mereka berkata video itu amat memalukan kementerian dan kerajaan semasa kerana ia menunjukkan menteri itu terperangkap dalam cara lama untuk mentafsir serta memikirkan status wanita dalam hubungan dan mereka tidak boleh dianggap dan dilayan sebagai sama dengan suami. – 14 Februari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen