AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukusan Rina Jainal meninggalkan Warisan untuk menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah.
Beliau Adun Sabah terbaharu yang meninggalkan Warisan untuk menyertai parti lain.
Pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini, Adun yang berkhidmat bagi penggal pertama itu mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
“Saya memilih Harapan (Rakyat) kerana saya percaya kami boleh membawa lebih banyak pembangunan ke Tawau,” Rina dipetik The Borneo Post.
“Parti ini berkhidmat untuk orang Tawau.”
Susulan peletakan jawatannya daripada Warisan, Rina juga melepaskan semua jawatannya dalam parti itu termasuk ketua wanita Kalabakan.
Beliau memenangi kerusi Kukusan pada pilihan raya negeri pada September 2020 dengan majoriti hanya 10 undi memperoleh 2,834 undi untuk menewaskan Chaya Sulaiman dari Barisan Nasional dalam pertarungan tujuh penjuru.
Kukusan salah satu daripada 13 kerusi baharu yang ditambah dalam pilihan raya negeri yang lalu.
Warisan kini mempunyai 18 Adun (termasuk enam Adun yang dicalonkan) dalam 79 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah.
Pada Oktober tahun lalu, Adun Sindumin dari Warisan Yusof Yacob meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli politik bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah.
Yusof menyertai Warisan pada 2016, apabila ia ditubuhkan oleh Mohd Shafie Apdal. Beliau dikatakan akan menyertai semula Umno suatu hari nanti.
Yusof adalah Adun Warisan kedua yang meninggalkan parti, selepas Hassan A Gani Pg Amir dari Sebatik keluar pada 25 Februari. – 5 Jun, 2022.
Komen