Parti Warisan bakal bertanding di DUN Bukit Batu


Sebelum ini, Warisan mengumumkan untuk meletakkan calon bagi kerusi DUN Permas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2022.

PARTI Warisan (Warisan) berkemungkinan meletakkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac depan.

Presidennya Mohd Shafie Apdal berkata calon Warisan yang bertanding bagi DUN itu adalah anak muda dalam kalangan penduduk tempatan dan namanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Kalau tiada halangan kita bertanding di (DUN) Bukit Batu. Yang bertanding ini bukan orang Sabah, kita akan tentukan yang bertanding (di DUN Bukit Batu) adalah orang muda dan anak tempatan,” katanya pada majlis jamuan makan malam Tahun Baharu Cina di Kulai, Johor.

Sebelum ini, Warisan mengumumkan untuk meletakkan calon bagi kerusi DUN Permas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi DUN Bukit Batu dimenangi calon PKR Jimmy Puah Wee Tse selepas memperoleh 17,105 undi menewaskan Teo Lee Ho dari Barisan Nasional (BN) dan Juwahir Amin daripada PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian PRN Johor dan Sabtu ini (26 Februari) ditetapkan untuk tarikh penamaan calon manakala pengundian awal pada 8 Mac. – Bernama, 24 Februari, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen