Maruah buku digadai di Pesta Buku Antarabangsa


Naim Al-Kalantani

HEBAT sangatkah kalau menang hadiah sastera? Kalau betul hebat, kenapa ditabur di lantai dan dijual dengan lebih murah daripada Mix & Match McDonald’s?

Buka panggung pesta buku pada 3 Jun mengghairahkan ramai pihak—pembaca, penjual, penerbit buku. Dua tahun kita tidak berhari raya buku, akhirnya dapat juga menyambutnya di tempat yang menjadi tradisi industri perbukuan selama ini. Hari pertama inilah disambut dengan kesayuan.

Bagaimana sebuah buku yang memenangi hadiah sayembara boleh dijual dengan harga RM5 sebuah? Tergeletak bertaburan di atas kayu palet. Penuh di dalam Dewan Tun Hussein Onn dengan buku-buku yang telah dilacurkan.

Nama-nama besar—Lim Swee Tin, Lutfi Ishak, Latiff Mohidin, Joseph Konrad dan ramai lagi buku sasterawan dan pemikir agung hanya terdampar di atas lantai.

Inikah layanan kepada sasterawan? Layanan kepada penterjemah Faust? Kalau Goethe hidup lagi sekarang ini, saya fikir beliau akan kecewa dengan sikap penerbit bertaraf kebangsaan di Malaysia ini.

Jika ke wisma penerbit itu, saya seringkali bercanda dengan rakan, “Kumpulan puisi Dondang Pembukaan ini jika diletakkan di atas rak, nescaya akan runtuh rak tersebut.”

Itulah manifestasi bagaimana buku-buku sastera sepatutnya dihargai.

Masuk sahaja Dewan Tun Hussein Onn, banyak tanda harga RM5. Ingatkan buku-buku ‘biasa’ sahaja di atas palet, selepas dikuis-kuis sedikit buku-buku tersebut, ternampak Roslan Jomel terselit di situ. Saya besarkan sudut mata, memandang ke kanan ke kiri. Rupanya banyak lagi buku pemenang hadiah sastera dilacurkan sebegitu lupa.

Dari sudut pembeli—ya, wujud keterujaan melihat sebuah buku bernilai lebih murah dari sarapan di ibu kota. Pembaca gembira untuk membeli dengan sekeping wang hijau. Bagaimana penerbit ini mengukur keadilan? Neraca yang bagaimana mereka guna? 

Melayani naskhah-naskhah agung dengan cara jijik sebegitu menyebabkan nilai sastera punah.

Dari sudut pembaca dan peminat sastera, saya tahu nilai buku tersebut walaupun ada yang masih saya tak mampu milikinya lagi. Tapi sekurang-kurangnya saya memikirkan kewajaran saya memperoleh buku tersebut dengan harga yang adil bagi sebuah karya besar.

Pesta buku bukan pesta jualan borong. Diulangi, pesta buku bukan jualan borong! Adil pada penterjemah, adil pada buku, adil pada penulis, adil pada karya.

Anda pernah dengar nama Syed Naquib al-Attas? Pernah lihat bukunya yang mahal?

Antara sebab ia mahal sebab ilmu itu sendiri mahal. Walaupun saya sendiri tidak bersetuju dengan beberapa gagasan al-Attas, tetapi bukunya yang harga ratusan ringgit itu bukan dijual semata-mata “ilmu itu mahal”. Tetapi adab kepada buku, kepada penulis.

Kita takkan pernah nampak buku al-Attas dijual longgok RM5. Maruah al-Attas tidak boleh disamakan dengan wang sekecil itu. Penghargaan sesungguhnya perlu diberikan kepada buku yang memberi kesan besar dalam mana-mana pemikiran. Samalah seperti sastera, dianjurkan gah sayembara, akhirnya kembali ke lambakan atas kayu palet sahaja.

Menyedihkan, memanggil Muhammad Haji Salleh untuk sesi Sofa Putih, pada masa yang sama buku terjemahan Hang Tuahnya dipamerkan di atas meja. Sedangkan di bawah pentas buku Hang Tuah dijual dengan harga RM50 sahaja. Sebuah buku dengan harga sebegitu dan menjemput penterjemahnya dan juga penerima anugerah sastera paling berprestij di Malaysia — saya kira ia tindakan biadab.

Saya memahami jika tempat simpanan buku tersebut mahal. Ada buku yang tak laku, ada pula buku yang laku keras. Dalam stor bertimbun buku yang tidak terjual. Tapi bukan dengan cara pukul rata kepada judul-judul agung, penulis-penulis besar. 

Saya tidak percaya judul buku yang bagus perlu dijual kerana alasan tersebut. Kelihatan di dewan tersebut, buku dijual seperti longgokan kertas, bukan lagi menjual idea dan pemikiran.

Semua buku ada nilai tersendiri. Ada yang kita panggil buku ‘sampah’, sehingga yang dipanggil karya agung. Perbezaan kedua-dua ini bukan pada nilai harga, tapi ia keadilan yang diberi kepada buku tersebut. 

Kalau buku boleh dilambakkan sebegitu, hanya di tapak kaki sahajalah pemikiran penerbit gergasi ini. Menyewa sebuah dewan di sebelah pentas utama tak semestinya kita jadi gah! – 5 Jun, 2022.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen